Berita

Pengurusan 1MDB kurang cerdik, pecat kesemuanya!

KUALA LUMPUR, 30 OKT – Pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin sahaja sekumpulan individu yang begitu pendek akal sehingga membayar komisyen yang begitu tinggi kepada Goldman Sachs.

Untuk dua pinjaman berjumlah US$4.75 bilion (RM15.2 bilion), 1MDB membayar komisyen mencecah 10% kepada institusi perbankan tersebut. Sedangkan dalam banyak keadaan lain, komisyen bagi tujuan pendanaan sedemikian tidak pernah melebihi 2% daripada jumlah dana.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam kenyataannya awal minggu ini telah pun mempersoalkan perbuatan pelik 1MDB itu sambil mempersoalkan sama ada 1MDB begitu ‘bodoh’ untuk menyanggupi komisyen ‘cekik darah’ tersebut.

The Edge Financial Daily dalam laporan muka depannya semalam memberitakan bahawa pihak Goldman Sachs telah menafikan sebarang pembayaran dibuat kepada pihak ketiga, malah menegaskan bahawa bayaran yang termaktub dalam dokumen tawaran pinjaman 1MDB adalah bayaran standard untuk khidmat pihaknya.

Bagaimanapun GOldman Sachs enggan menerangkan kenapa kadar komisyennya begitu tinggi berbanding biasa.

“Oleh yang demikian, dengan mengambil kira respons bank tersebut dan keengganannya menerangkan kadar cekik darah itu, kita hanya boleh memutuskan bahawa pihak pengurusan 1MDB mungkin terdiri daripada individu terdesak dan pendek akal sehingga boleh tertipu dengan Goldman Sachs yang tidak beretika,” ujar Tony dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, usaha mengumpul dana berjumlah RM1.52 bilion oleh 1MDB yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan tidak sepatutnya menelan belanja lebih daripada RM152 juta.

“Sebaliknya 1MDB terpaksa menanggung kos sehingga RM1.54 bilion. Pengurusan tertingginya pastilah sekumpulan orang bebal yang tidak cekap,” sindir Tony.

Setiausaha Publisiti DAP itu turut menggesa Perdana Menteri Najib Razak untuk segera memecat keseluruhan pihak pengurusan tertinggi 1MDB, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Hazem Abdul Rahman.

Malah katanya, keseluruhan Lembaga Pengarah 1MDB termasuk pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin mesti dipertanggungjawabkan ke atas kegagalan serta kecuaian yang begitu dangkal ini.

Perdana Menteri Najib Razak adalah pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, syarikat pelaburan milik penuh kerajaan yang kini menanggung hutang menggunung berjumlah RM36 bilion yang dikumpulnya dalam jangkamasa 4 tahun ditubuhkan. – Roketkini.com