Berita

Peguam Negara kini jadi peguam bela Ibrahim Ali? – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 3 NOV: Dakwaan terpilih, pilih kasih dan keengganan mendakwa Datuk Ibrahim Ali yang mengugut untuk membakar kitab Bible berbahasa Melayu menunjukkan seolah-olah Pejabat Peguam Negara telah ‘menjadi peguam bela’ kepada Presiden Perkasa itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sikap acuh tak acuh terhadap hak-hak orang bukan Islam di negara ini seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan secara diam-diam bersetuju dengan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk tidak membuat sebarang pendakwaan.

“Walaupun beberapa anggota Kabinet secara individu berpendapat bahawa Ibrahim wajar didakwa, namun sikap pasif mereka mengecewakan.

“Ibrahim dibiarkan bebas begitu saja meskipun telah menyentuh sensitiviti orang Kristian dengan menyokong keputusan Jabatan Peguam Negara,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Kata Guan Eng, sikap pasif lebih jelas apabila barisan kabinet dilihat seperti ‘bersetuju’ apabila jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal undang-undang berkata bahawa tindakan Ibrahim Ali bertujuan mempertahankan agama Islam.

Lebih buruk, kata Guan Eng, Menteri di JPM Nancy Shukri menyatakan bahawa tindakan Ibrahim Ali selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Setakat ini, Nancy Shukri masih belum menjelaskan di mana dalam Perlembagaan Persekutuan atau Al-Quran, dinyatakan bahawa pembakaran kitab Bible adalah dibenarkan untuk mempertahankan Islam,” tegas Guan Eng.

Kata Guan Eng, ugutan Ibrahim Ali yang menyatakan bahawa kitab Bible berbahasa Melayu perlu dibakar harus dilihat secara menyeluruh.

Ini kerana penjelasan Pejabat Peguam Negara bahawa kenyataan Presiden Perkasa merujuk kepada dakwaan edaran kitab Bible kepada para pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang.

“Bahagian mana dalam undang-undang Akta Hasutan yang menakrifkan bahawa, pengecualian boleh dibuat, bagi kenyataan dengan kecenderungan menghasut dengan merujuk kepada konteks?

“Ketika saya disabit kesalahan dan dipenjara 18 bulan di bawah Akta Hasutan pada 1998 kerana membela gadis bawah umur sementara perogolnya bebas, menyuarakan sesuatu yang benar bukanlah pembelaan selagi kecenderungan menghasut boleh dibuktikan.

“DAP tidak pernah bersetuju dengan Akta Hasutan, tetapi jika kerajaan mahu melaksanakannya, mereka harus menjalankannya secara adil dan saksama.

“Pelaksanaan dua pendekatan berbeza seperti kes Ibrahim Ali jelas menunjukkan bahawa undang-undang Akta Hasutan adalah senjata yang sengaja digunakan untuk memusnahkan lawan politik BN,” tegas Guan Eng.

Tambah Guan Eng, Pejabat Peguam Negara menekankan bahawa berdasarkan konteks, kenyataan Ibrahim tidak mempunyai kecenderungan menghasut dan tidak berniat untuk mewujudkan ketegangan antara agama melainkan hanya mempertahankan kesucian Islam.

“Jika demikian, apakah saya masih disabitkan kesalahan, walaupun ketika membuktikan bahawa niat saya adalah untuk mempertahankan keadilan?

“Jadi, Pejabat Peguam Negara perlu mendakwa Ibrahim Ali, dan biarkan mahkamah memutuskan pendirian Ibrahim Ali tentang ‘konteks’ dan ‘niat’nya itu,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com.