Rencana

Cabaran demokrat seluruh dunia – Lim Kit Siang

Nota: Tulisan ini adalah ucapan penuh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam acara penutup Persidangan Demokrat Muslim Sedunia di One World Hotel, Petaling Jaya pada 3-4 November lalu.

 

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang untuk berucap di hadapan para hadirin hebat di Persidangan Demokrat Muslim Sedunia yang julung kalinya diadakan ini.

Objektif forum ini, seperti yang dinyatakan, adalah untuk “meredam suara negatif ekstremisme, eksklusivisme dan sikap tidak toleransi, digantikan dengan suara kesederhanaan, toleransi, saling memahami dan inklusivisme.” Perbincangan kita ini memang tepat pada masanya, dengan meningkatnya ketaksuban dan ekstremisme agama di seluruh dunia.

Di Timur Tengah yang dilanda perang, kuasa militan yang berasal daripada kumpulan Al-Qaeda tempatan telah mendapat kuasa di sebahagian kawasan di barat Iraq dan timur laut Syria secara kekerasan, dan menamakan kawasan mereka yang tidak diiktiraf itu sebagai ‘Negara Islam’.

Mereka mengaku sebagai pemegang kekuasaan agama ke atas Muslim seluruh dunia, sebagai ‘khalifah baru’, tetapi Islamic State (IS) pada hakikatnya sedang menjalankan kekejaman sektarian secara sistematik ke atas minoriti Muslim. Baru semalam kita mendengar laporan berkenaan penyembelihan 322 orang anggota kabilah di barat Anbar, Iraq. Mangsa termasuk 50 wanita dan kanak-kanak, dan mayat mereka dicampak begitu sahaja ke dalam telaga.

Walaupun IS telah melakukan jenayah dahsyat melalui penyembelihan dan ‘hukuman mati’ yang tidak berperikemanusiaan, mereka juga melakukan jenayah yang lebih besar dengan memperalatkan nama Islam dalam menyebarkan ideologi yang mengerikan itu.

Keganasan dan kekejaman yang diamalkan IS ini adalah bercanggah dengan ajaran asas Islam yang menganjurkan keamanan, toleransi dan kesaksamaan di kalangan manusia. Jika ada seolah-olah hubungan kebetulan di antara masyarakat Muslim dan keganasan terancang pada masa ini, kita perlu ingat tentang latar kebanyakan negara Muslim hari ini yang derita akibat pemerintahan zalim oleh elit pemerintah yang dilihat mementingkan diri sendiri dan patuh kepada hegemoni Barat. Akhirnya, hal yang melemahkan masyarakat Muslim pasca-penjajahan hari ini adalah berkaitan ekonomi dan sosiopolitik, bukan sangat kerana agama atau puak.

Di sini pula, keadaan tidaklah seteruk itu, namun ketegangan menjadi semakin teruk. Ia diburukkan lagi dengan ketidakmampuan kerajaan untuk membendung ekstremisme yang semakin bercambah, dan pada masa tertentu seperti secara senyap menyokongnya, seperti yang terbukti dengan kedegilan pihak kerajaan membela ancaman pelampau sayap-kanan untuk membakar kitab Bible Bahasa Melayu. Bukan sahaja Peguam Negara enggan membuat pendakwaan terhadap provokasi kebencian agama ini, kerajaan malah mengabsahkan pendirian itu dengan mendakwa golongan pelampau itu hanya ingin mempertahankan kesucian Islam.

Lebih memburukkan keadaan, semua ini berlaku ketika undang-undang zalim zaman penjajah, seperti Akta Hasutan dikenakan terhadap musuh politik dan aktivis sosial.

 Semua demokrat berkongsi nilai yang sama

Suasana tanpa toleransi ini tidak mengejutkan, memandangkan regim yang berkuasa kini bergolak selepas hilang undi popular untuk pertama kali dalam sejarah pada Pilihanraya Umum ke-13. Ekoran ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia yang moderat, mereka kini semakin bergantung kepada unsur sayap-kanan, serta keyakinan menyeleweng bahawa sentimen agama dan kaum yang melampau akan mengukuhkan tapak sokongan mereka. Dengan kata lain, respons kerajaan terhadap rakyat yang menginginkan kebebasan dan demokrasi adalah dengan semakin menekan dan memecah-belahkan mereka serta meningkatkan dos autoritarianisme.

Kini adalah saat terpenting untuk melawan ketaksuban dan penindasan dengan menjuarai nilai kebebasan, kesaksamaan dan setiakawan. Ini adalah nilai-nilai kemanusiaan sejagat, bukan sahaja bagi demokrat sosial, atau bagi mereka yang berpegang kepada ideal Immanuel Kant tentang kebaikan alamiah dan maruah insan, atau falsafah Konfucius dan Mencius tentang fitrah kebaikan insan bahawa semua manusia dilahirkan baik dan perlu dipupuk. Namun, ia juga bagi demokrat Muslim, yang asas ideologinya terbit daripada nilai-nilai Quran.

Malah, optimisme terhadap kemanusiaan dan ideal-ideal yang saya sebut tadi juga berakar dalam Islam, seperti yang ditonjolkan pemimpin gerakan Islam Tunisia Sheikh Rachid Ghannouchi berkenaan konsep negara Islam yang progresif – sebuah negara sivil berasaskan keadilan, kesaksamaan, hak asasi dan demokrasi, di mana negara bukan sahaja melindungi kebebasan agama tetapi juga kebebasan nurani.

Dengan kata lain, semua demokrat berkongsi nilai sama. Maka, dengan persamaan inilah kita harapkan akan menghasilkan agenda politik bersama demi kebaikan umat manusia. Agenda ini akan berakar daripada nilai bersama daripada budaya kita yang berbeza, sama ada sebagai sosial demokrat atau pun Muslim demokrat, dan bertumpu kepada mendepani cabaran masyarakat moden – tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, pilihanraya bebas dan adil serta kesaksamaan sosioekonomi.

 Pengajaran dari Timur Tengah

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merenung kembali perisitwa di Timur Tengah, bermula dengan jatuh bangun Hizbun Nahdah, atau Parti Ennahda Tunisia, yang saya rasakan amat relevan dan patut menjadi pengajaran kepada kita semua.

Bagi ramai Islamis di seluruh dunia, dan tentunya mereka yang menggelar diri sebagai “demokrat Muslim”, Ennahda adalah contoh klasik sebagai sebuah gerakan Islam yang sederhana. Sheikh Rashid Ghannouchi yang berada di dalam pelarian sepanjang pemerintahan diktator Zine el-Abidine Ben Ali dengan penuh gemilang pulang untuk mengetuai partinya dalam Pilihanraya Umum pada Oktober 2011 yang menyaksikan mereka menang 40 peratus kerusi.

Menyusul selepas itu adalah pengenalan perlembagaan sivil yang berasaskan nilai Islam, menjadikan Tunisia sebagai obor demokrasi di dunia Muslim. Namun, pilihanraya parlimen Khamis lalu menyaksikan kekalahan Ennahda di tangan parti sekular kiri Nida Tounes. Apakah yang menyebabkan kecundangnya Ennahda?

Untuk menjawab soalan ini, mungkin berbaloi untuk melihat kembali Arab Spring. Asal mula revolusi di Timur Tengah bermula di Tunisia pada 17 Desember 2010, hari di mana anak muda yang ingin menjadi peniaga kecil Mohammad Bouazizi membakar dirinya. Minggu-minggu berikutnya membawa kepada perubahan dramatik kepada Timur Tengah dan malah dunia Muslim keseluruhannya. Mencontohi protes di Tunisia yang berjaya menumbangkan regim, rakyat Mesir juga bertindak pada Januari 2011 dengan mobilisasi besar-besaran di Dataran Tahrir, yang akhirnya menyebabkan tumbangnya diktator Hosni Mubarak pada 11 Februari.

Setelah berjaya menjatuhkan dua diktator yang lama berkuasa, Islamis sedunia mula berasa girang, menegaskan kejayaan konsep yang dipanggil ‘al-Islam huwa al-hal’ atau ‘Islam sebagai penyelesaian’. Namun, sejauh mana Islamisme menyediakan ideologi mobilisasi bersama dan struktur berguna untuk protes terancang, kita perlu mengakui bahawa faktor mendasar yang mencetuskan kedua-dua revolusi ini adalah kemerosotan ekonomi dan penindasan politik.

Motivasi berkembar ini telah diakui oleh banyak kajian, termasuk laporan oleh Arab Institute for Human Rights dan Arab NGO Network for Development yang menyatakan bahawa keinginan untuk membina sebuah sistem sosioekonomi berasaskan ‘martabat, kebebasan dan kesaksamaan…adalah desakan utama para demonstran di seluruh wilayah dan membawa kepada perubahan mendalam ini.

Maka, tidak berapa tepat untuk mengandaikan bahawa “Arab Spring” sebagai fenomena ‘kebangkitan Islam, atau sebagai cerminan kepada keinginan untuk menjadi lebih Islamik. Sebaliknya, pemberontakan terhadap Ben Ali dan Hosni Mubarak bukanlah bersifat agama mahu pun sekular. Secara umum, ia adalah seruan ke arah menamatkan rasuah, kronisme dan penindasan politik, serta memajukan tahap ekonomi.

Oleh yang demikian, apabila rakyat meletakkan harapannya terhadap Ennahda di Tunisia dan Ikhwan Al-Muslimin di Mesir ketika Arab Spring, mereka berharap bahawa parti ini akan membawa pendekatan baru dalam politik yang berpusat kepada pengagihan ekonomi yang saksama, tadbir urus yang baik dan keadilan sosial.

Kembali kepada kisah Tunisia, Ennahda telah diberikan mandat untuk membetulkan banyak masalah sosioekonomi yang menghantui masyarakat Tunisia, antaranya pengangguran tegar. Malangnya, persepsi umum pengundi adalah parti itu gagal untuk melaksanakannya. Pengangguran kekal tinggi dan jenayah semakin meruncing di tengah-tengah pergolakan wilayah. Dalam konteks inilah, iaitu ketidakpuasan hati orang ramai terhadap cara Ennahda mengendalikan ekonomi menyebabkan kekalahan parti itu.

Seperti pandangan pakar Timur Tengah dan pensyarah Universiti Oxford Michael Willis: “Isu utama adalah ekonomi. Nidaa Tounes dilihat ada kepakaran untuk mengembalikan ekonomi kembali ke landasannya.”

Cerita sama berlaku di Mesir, di mana pungutan suara yang dijalankan International Republican Institute (IRI) menunjukkan masalah ekonomi berada pada kadar tertinggi dalam fikiran rakyat. Misalnya, 63 peratus rakyat memilih ‘pengangguran’ manakala 30 peratus memilih ‘kemiskinan’ sebagai masalah terbesar negara.

Kajian Pew Research Centre juga menunjukkan orang ramai lebih mementingkan aspirasi ekonomi berbanding isu-isu demokrasi apabila lebih ramai – iaitu 82 peratus – menyatakan keadaan ekonomi yang lebih baik dan sistem perundangan yang adil – 79 peratus – adalah amat penting.

Apa yang kita boleh belajar daripada semua ini?

Saya yakin bahawa amat realistik untuk kita simpulkan, faktor utama yang merangsang Arab Spring dan revolusi di Tunisia dan Mesir tidaklah berkaitan sangat dengan Islamisme berbanding realiti praktikal seperti ekonomi dan penindasan politik.

Titik tumpuannya rakyat biasa

Sebaiknya kita mengambil pengajaran ini untuk keadaan di Malaysia di mana dapat dilihat meningkatnya campur tangan kerajaan dalam hal peribadi rakyat, atas nama agama. Ini adalah trend merbahaya, kerana semakin giat cubaan kerajaan untuk memonopoli ‘kebenaran’ dan mengisytiharkan diri mereka sebagai penjaga agama, semakin teruk penindasan akan dilakukan, walaupun dengan niat yang baik pada asalnya.

Daripada ghairah tentang isu potong tangan, mungkin lebih produktif untuk kita berbincang tentang dasar sosioekonomi. Ini sangat relevan terutama bagi kita di Malaysia, di mana jurang miskin-kaya adalah paling teruk di Asia Tenggara. Hakikat bahawa dua per tiga daripada rakyat layak untuk menerima bantuan kebajikan dalam bentuk bayaran BR1M adalah petunjuk kepada kelemahan struktur pengagihan kekayaan, apatah lagi apabila Perdana Menteri mendakwa, melihat kepada unjuran pertumbuhan, kita hanya perlukan lima tahun lagi untuk mencapai status pendapatan tinggi.

Maka, untuk menawarkan alternatif, kami dalam Parti Tindakan Demokratik dan Pakatan Rakyat komited untuk memperkenalkan reformasi yang akan memastikan ruang demokrasi yang lebih baik, dan ekonomi yang adil dan inklusif.

Kami mahu meningkatkan taraf hidup rakyat terbanyak dan mengurangkan jurang pendapatan yang melebar dengan menanggapi masalah yang telah mengakar seperti rasuah dan kapitalisme yang dimonopoli kerajaan – suatu hal yang bukan sahaja mengganggu pasaran, namun menyebabkan kekayaan bertumpu di tangan elit yang mempunyai hubungan politik.

Bagi menggantikan amalan penaungan dan dasar pemerolehan awam yang kabur, kami mencadangkan tender terbuka yang berdaya saing. Kami juga menentang pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang regresif pada keadaan sekarang, kerana kami percaya golongan kaya perlu menanggung beban cukai yang lebih besar berbanding orang miskin. Kami juga mencadangkan untuk memecahkan monopoli tidak cekap di banyak sektor, khususnya dalam bidang permotoran, telekomunikasi dan kemudahan awam.

Dari segi reformasi demokratik, kami yakin bahawa ada tiga aspek penting yang perlu dijadikan tumpuan. Pertama, perlunya jaminan terhadap kebebasan peribadi, terutama kebebasan nurani dan bersuara, serta untuk mendukung hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Kedua, kita perlu menangani isu-isu keadilan sosial dengan meningkatkan akses peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Dan akhir sekali, kita perlu mempromosikan pluralisme politik dan budaya, khususnya dalam menghormati hak minoriti di negara ini.

Di sini, tanpa mengira sama ada kita adalah demokrat sosialis, demokrat Muslim atau demokrat daripada mana-mana fahaman sekalipun, cabaran kita adalah membawa isu-isu rakyat yang mendasar – kemerosotan ekonomi dan penindasan politik. Justeru itu, kita jangan tenggelam dalam isu seperti politik identiti, sebaliknya lebih penting untuk kita memberikan penyelesaian yang akan menegakkan tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, pilihanraya bersih dan adil serta keadilan ekonomi.