Berita

Kerajaan patut henti pembaziran, bukan kenakan cukai baru

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Bagi menangani kekurangan hasil negara ekoran penurunan harga minyak dunia, kerajaan sepatutnya mengurangkan pembaziran dan ketirisan, bukannya mengenakan cukai jualan kepada minyak.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, tidak adil untuk membebankan rakyat kerana kesilapan kerajaan yang membuat anggaran tidak realistik terhadap harga minyak dunia ketika merangka Belanjawan 2015.

“Tidak adil untuk membebankan rakyat ekoran kesilapan kerajaan ketika menganggar harga minyak sedunia serta pembaziran sewenang-wenangnya dalam belanjawan.

“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menggunakan sebaiknya hasil yang dikutip daripada sumber semulajadi (seperti minyak dan gas),” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Dalam jawapan parlimen,Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan mempertimbangkan mengenakan harga pasaran keatas minyak RON95 dengan cukai jualan RM0.58 sen seliter, jika harga minyak dunia terus menurun.

Belanjawan 2015 dirangka bahawa negara mengutip hasil dari minyak dengan harga USD105 segelen, dan merupakan belanjawan tertinggi dengan jumlah RM273.9 bilion.

Setakat ini, harga Brent (nilai piawaian minyak yang bersumber dari Eropah) terus menurun sehingga USD82.72 segelen.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini menggesa kerajaan agar membuat pengiraan semula Belanjawan 2015 ekoran keadaan ini.

Tambah memburukkan keadaan kata Shu Qi, belanjawan yang sedia tinggi itu juga dipenuhi ‘dana gelap’ (slush fund) yang tidak dinyatakan tujuannya secara khusus.

“Terutama kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Misalnya, ada empa perkara di bawah peruntukan JPM dengan jumlah RM5.08 bilion yang tidak dinyatakan tujuannya dalam Belanjawan 2015,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Senai itu.

Perkara yang dimaksudkan itu adalah bagi ‘Projek Kecil’ (RM0.3 bilion), ‘Projek Khas’ (RM1.61 bilion), ‘Projek Mesra Rakyat’ (RM0.67 bilion dan ‘Dana Fasilitasi’ (RM2.5 bilion).

“Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah dengan berjimat, atau menggunakannya dengan bijak. Bukannya mengenakan cukai baru yang hanya menambah beban rakyat, terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” ujar Shu Qi – Roketkini.com