Berita

Pusat rahsia perjanjian air, takut rakyat Selangor tahu berat sebelah?

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Sikap kerajaan pusat berkeras merahsiakan perjanjian penstrukturan air Selangor menguatkan hujah bahawa perjanjian itu berat sebelah.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, alasan terbaru Pusat untuk merahsiakan perjanjian itu tidak masuk akal.

Beliau merujuk kenyataan parlimen Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dua hari lalu, bahawa pendedahan perjanjian itu akan memberi kesan kepada urusan jual beli dan penilaian saham syarikat konsesi di pasaran.

Selain itu, Ongkili juga berkata kerajaan perlu mendapat keizinan empat pihak; kerajaan Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat konsesi yang terlibat dan kabinet, bagi mendedahkan perjanjian tersebut.

“Alasan diberikan langsung tidak masuk akal,” kata Santiago, sambil menjelaskan laporan meluas media memberi kesan kepada kos jual beli serta pasaran saham syarikat konsesi.

Katanya, alasan itu hanya menguatkan prasangka, bahawa alasan sebenar perjanjian itu dirahsiakan kerana ia hanya memihak kepada kerajaan pusat.

Membayangkan kemungkinan yang bakal berlaku, beliau berkata,”kerajaan pusat akan memiliki kawalan terhadap projek, manakala Selangor hanya akan menjadi sekutu bawahan (junior partner).

“Kerajaan pusat akan berkuasa membuat keputusan berkenaan kos, kewangan, kontraktor dan aspek penting lain, manakala negeri hanya boleh menguruskan pemilikan tanah, mengeluarkan arahan pembangunan dan mengarahkan pihak berkuasa mempercepatkan kelulusan.

“Syarikat kroni akan mendapat kontrak, mengabaikan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik yang dipegang kerajaan negeri,” katanya lagi.

Katanya lagi, kesan daripada perjanjian yang berat sebelah amat serius, seperti kerajaan negeri tidak berkuasa menentukan kos, yang boleh menyebabkan tarif air dinaikkan nanti.

“Kita sudah melihat projek kerajaan pusat menanggung kos yang jauh lebih tinggi daripada anggaran, seperti KLIA2 yang meningkat daripada RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.

“Akhirnya kerajaan negeri dan rakyat Selangor terpaksa menanggung beban itu,” katanya lagi.

Takut rakyat marah?

Kata Charles, jelas sebab sebenar perjanjian air terus dirahsiakan kerana kerajaan takut kandungannya akan menyebabkan kemarahan rakyat.

“Kerajaan sedar jika ia didedahkan, ia akan mencetuskan kemarahan dan kebencian terhadap mereka, terutama oleh rakyat Selangor,” katanya lagi.

Pada 1 Ogos lalu, bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menandatangani perjanjian dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi memuktamadkan dua perjanjian persefahaman sebelum ini.

Tindakan tersebut menjadi salah satu punca Pakatan menggantikan Khalid, kerana tidak merujuk Majlis Pimpinan Pakatan sebelum membuat keputusan itu.

Menteri Besar kini, Mohamed Azmin Ali namun tetap konsisten mahu ia didedahkan. Terbaru, beliau mendesak Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan kedegilan kerajaan merahsiakannya. – Roketkini.com