Berita

11,757 anggota polis baru perlu diserap ke JSJ

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Dengan hanya 11.4 peratus ahli yang berkhidmat dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran menempatkan 11,757 polis baru ke dalam unit tersebut, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober lalu bahawa seramai 11, 757 polis baru akan ditambah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9.1 billion.

“Dari jumlah tersebut, bukan semua polis mempunyai kuasa penyiasatan terus. Dalam JSJ, lebih kurang 24 peratus sahaja ahli yang berpangkat Inspektor ke atas yang boleh dilantik sebagai pegawai penyiasat.

“Tidak hairanlah Ketua Polis Negara (Tan Sri) Khalid Abu Bakar pernah berkata seorang pegawai penyiasat terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan, manakala di kawasan ‘panas’ sehingga 30 kes sebulan,” kata Sim dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, dari keseluruhan 141,365 anggota polis, 41.4 peratus di unit pengurusan dan 26.9 peratus di unit Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Laporan Suruhanjaya Diraja Polis pada 2005 menyatakan, seorang pegawai penyiasat secara idealnya hanya mengendalikan lima kes sebulan.

Laporan tersebut turut memaklumkan pada tahun 2004, PDRM sendiri memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah kepada 28,000 orang anggota.

“Saya menyeru kesemua 11,757 polis yang baru ini diserap ke dalam JSJ sejajar usaha mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di negara kita.

“Pada hari ini, JSJ hanya mempunyai 16,062 orang anggota. Jika ditambah 11,757 anggota yang baru, JSJ hanya memiliki 27,819 anggota dan masih belum mencapai sasaran 10 tahun lalu

“Tetapi sekurang-kurangnya ini merupakan penambahan yang memenuhi keperluan,” ujar Sim.

Dalam pada itu, Sim menyarankan PDRM menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus polis wanita daripada keseluruhan pengambilan baru tersebut.

Ia bukan sahaja memberi peluang kepada wanita untuk menyertai PDRM, malah membolehkan elemen ‘peka gender’ dalam setiap operasinya, terutama ketika memberi perkhidmatan kepada pelanggan wanita dan mengendalikan kes jenayah gender seperti jenayah seksual dan keganasan rumah tangga.

“Mengikut jawapan Menteri Dalam Negeri kepada saya di Parlimen pada tahun 2013, jumlah keseluruhan polis wanita dalam PDRM hanyalah lebih kurang 10.3 peratus ataupun 11,516 orang sahaja.

“Jadi, tidak keterlaluan saya menyeru agar 30 peratus anggota polis baru tersebut dijawat oleh wanita,” katanya lagi. – Roketkini.com