Berita

SPRM perlu dedah status siasatan kes rasuah Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 10 NOV: DAP menggesa kerajaan mendedahkan status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah dan salah tadbir pengurusan Zoo Negara.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, pendedahan perlu dibuat berikutan kualiti perkhidmatan zoo tersebut yang semakin merosot biarpun mendapat peruntukan berjuta ringgit dari kerajaan.

Menurutnya, beliau telah memperoleh laporan terhadap pengurusan sejak tahun lalu dan SPRM telah tiga kali mengunjungi zoo berkenaan, tapi sehingga kini pendedahan mengenai status siasatan masih kekal tinggal tanda tanya.

“Di sebalik sokongan berterusan kerajaan dan tiket masuk tinggi, mengapakah Zoo Negara masih tidak dapat meningkatkan kualiti?

“Saya telah mengajukan pertanyaan mengenai perkara ini di Parlimen, tetapi menerima jawapan yang tidak jelas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang menyatakan maklumat mengenainya ‘masih dalam peringkat pengesahan’,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi tahun  2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada Zoo Negara, selain RM25 juta bagi pembangunan pameran panda.

Namun, perbelanjaan besar itu masih gagal meningkatkan perkhidmatan Zoo Negara ke tahap yang membanggakan apabila kehadiran pengunjung dilaporkan menjunam kepada sekitar 600,000 hingga 700,000 setahun.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu turut menyelar tindakan pihak pengurusan yang telah menaikkan bayaran masuk ke paras yang tidak munasabah.

Justeru itu, beliau turut mencadangkan agar rancangan jangka panjang digubal untuk menangani isu pentadbiran, dan mengubah merubah Zoo Negara ke arah bertaraf dunia, sesuai dengan kekayaan bio-diversiti di negara ini.

“Adalah memalukan apabila zoo di negara kita berada dalam keadaan kurang memberangsangkan, sedangkan di negara jiran seperti Singapura berbangga dengan pengiktirafan ‘Lima Zoo Terbaik di Dunia’ oleh CNN,” ujarnya. -Roketkini.com