Berita

Mansuh Akta Hasutan sebelum sidang parlimen penggal ini berakhir

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada alasan untuk berdolak dalik melainkan mengakui berbohong kepada rakyat atau takut kepada golongan ektremis, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.

Dalam satu kenyataan Sim berkata, Najib perlu mengotakan janjinya segera untuk memansuhkan Akta Hasutan, seperti yang diikrarkan pada malam sambutan Hari Malaysia 16 September, dua tahun lalu.

“Najib harus segera melaksanakan moratorium mengenai penguatkuasaan Akta Hasutan termasuk terhadap mereka yang sedang disiasat.

“Dia juga perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Parlimen untuk mengkaji dan mempertimbang cadangan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional dalam hal berkaitan Akta Keharmonian Nasional.

“Akta Hasutan 1948 harus segera dimansuhkan sebelum akhir sidang Parlimen kali ini,” kata Sim dalam satu kenyataan.

Dalam jawapan Parlimen yang diterimanya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri sekali lagi mengulangi janji Najib untuk memansuhkan akta tersebut sebelum Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13).

Menurut jawapan Nancy, kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan undang-undang baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Tambah jawapan tersebut. rundingan menyeluruh akan diadakan dengan semua pihak dan keputusan penuh akan dibuat selepas proses rundingan.

Menerusi kenyataan Nancy, Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP (DAPSY) itu menegaskan, Najib seolah-olah membiarkan pihak ektremis menentukan agenda pentadbirannya, dan berselindung disebalik topeng ‘kesederhanaan’

“Undang-undang di negara ini sudah amat mencukupi termasuk Kanun Keseksaan untuk mendakwa jenayah berkaitan penyebar kebencian.

“Sebagai contoh, penulis blog Alvin dan Vivian didakwa di bawah Seksyen 298A iaitu perbuatan yang boleh menyebabkan memecahkan keharmonian dan perpaduan, kebencian atau niat jahat, memudaratkan dan prejudis berdasarkan agama.

“Terdapat bahagian lain dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang lainnya untuk menentang kebencian serta gangguan ketenteraman awam tanpa perlu menggunakan Akta Hasutan yang jelas sering disalahgunakan,” tegas Sim. -Roketkini.com