Berita

Sikap pemuda Gerakan digemari Umno, ibarat robot patuh tuan

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Timbalan Ketua Pemuda DAP Pulau Pinang Chris Lee Chun Kit membidas ‘saranan’ Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, agar universiti awam tidak mengambil mahasiswa yang kononnya ‘tidak berminat dalam pelajaran’.

Tan merujuk lapan mahasiswa Universiti Malaya (UM8) yang berdepan tindakan disiplin, termasuk dibuang universiti kerana menyertai program syarahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaya 27 Oktober lalu.

Ia berikutan tawaran Exco Pendidikan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad untuk membantu menempatkan mahasiswa tersebut di universiti milik kerajaan negeri; Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sekiranya dibuang.

Kata Lee, bantahan Tan terhadap tawaran itu tidak lebih sekadar menunjukkan sistem pendidikan Malaysia yang hanya berminat melahirkan rakyat yang patuh kepada penguasa tanpa kemampuan untuk berfikir.

“Berbanding melahirkan graduan yang berbakat dan kreatif sebagai pemimpin masa depan, beliau (Tan) merasakan lebih baik untuk universiti melahirkan ‘robot’ yang hanya mengikut perintah.

“Itulah Pemuda Gerakan hari ini. Tan adalah contoh terbaik anak muda di mata Barisan Nasional. Robot yang patuh sepenuhnya kepada tuan-tuan Umno mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata Lee, Barisan Nasional tidak mempunyai rasa hormat terhadap anak muda, apatah lagi memberi peluang kepada mereka untuk memimpin negara, seperti diakui Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam wawancara bersama akhbar The Star dua hari lalu, Nur Jazlan mengeluh bahawa Umno dilanda wabak pemimpin dan pemikiran ‘tua’

“Bukan sahaja ahli Majlis Tertinggi yang duduk di pentas dan perwakilan (Perhimpunan Agung Umno) sahaja tua, begitu juga dengan pemikiran (Umno) itu sendiri.

“Walaupun saya akan memasuki (umur) 49 tahun tahun hadapan, saya masih dikira muda dalam Umno,” kata Jazlan yang turut membandingkan Umno dengan Pakatan Rakyat yang dibarisi pimpinan muda.

Dalam pada itu kata Lee, jika Barisan Nasional serius melahirkan anak muda sebagai pemimpin negara, mereka tidak boleh lagi hanya dibenarkan menghafal buku dan idea di bilik kuliah, sebaliknya bersuara dengan bebas dan menghasilkan idea sendiri.

“Kita tertanya-tanya apabila sektor pekerjaan menyifatkan graduan masa kini sebagai kurang kreatif. Walhal, kita hanya perlu melihat sikap Tan Keng Liang untuk mengetahui masalah dalam sistem pendidikan kita,” ujar Lee. – Roketkini.com.