Berita

Gubal Akta Kesaksamaan Gender, jangan perlekeh wanita

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mencadangkan kerajaan mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender bagi memastikan tidak ada diskriminasi terhadap golongan wanita di tempat kerja.

Beliau merujuk kes Noorfadilla Ahmad Saikin, bekas guru ganti yang ditamatkan perkhidmatannya hanya kerana beliau mengandung.

Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan mengekalkan keputusan dibuat pada tahun 2011, dengan mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM300,000 kepada Noorfadilla kerana memecatnya.

Menyambut baik keputusan itu, Teo menyifatkan ia sebagai penanda aras bagi menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita di negara ini.

“Namun, tidak ada jaminan bahawa perlindungan yang sama akan turut dinikmati wanita yang bekerja di sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membangkitkan kes yang berlaku pada tahun 1991, apabila seorang pramugari Malaysia Airlines System (MAS) ditamatkan perkhidmatannya kerana mengandung, sepertimana mengikut persetujuan bersama antara MAS dengan kesatuan sekerjanya.

“Ketika itu, Mahkamah Persekutuan berkata persetujuan itu tidak melanggar jaminan Perlembagaan berhubung kesaksamaan gender, kerana Perlembagaan (hanya) ‘mengendalikan kes perlanggaran hak peribadi oleh negara, pihak berkuasa atau mana-mana agensinya.

“Maka untuk memastikan wanita yang bekerja di sektor swasta turut menikmati perlindungan dengan hak yang sama, maka amat penting mewujudkan Akta Kesaksamaan Gender,” katanya lagi.

Kata Nie Ching, akta tersebut perlu memasukkan saranan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi CEDAW terhadap wanita, selain memiliki hak penguatkuasaan undang-undang (force of law).

 CEDAW dalam laporannya pada 2006 menekankan kepentingan Malaysia untuk memiliki undang-undang baru, khusus untuk membasmi diskriminasi gender di negara ini.

“Kesaksamaan gender adalah isu kemanusiaan dan melangkaui politik. Saya berharap Ahli Parlimen wanita dari BN turut menyokong cadangan ini.

“Marilah berkerjasama untuk menggesa Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk merangka Rang Undang-undang itu nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com