Berita

Usaha Najib tolak ekstremisme gagal, tiada pemimpin Umno komited

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawan ekstremisme tidak akan mendatangkan sebarang hasil jika pemimpin Umno sendiri tidak berani tampil menyahut seruan itu, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, sehingga kini, tidak ada mana-mana menteri pun yang dilihat komited memperjuangkan agenda kesederhanaan walaupun ia merupakan asas kepada kempen Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

“Saya tidak dapat kira lebih daripada dua orang menteri yang komited dan bersedia melawan ekstremisme dan bersama di dalam satu gabungan moderat untuk menuntut kembali agama mereka serta membawanya ke jalan keamanan.

“Adakah lebih daripada dua menteri dalam kabinet Najib bersedia mengisytiharkan dirinya ‘moderat’ dalam perang menentang ekstremis yang merupakan raison d’etre (tujuan paling penting) kewujudan GMM?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikiran merujuk kekecohan di Dewan Rakyat semalam apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa DAP merupakan parti yang chauvinis dan perkauman.

Noh Omar yang bangun mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 Kit Siang dan berkata, perkara melibatkan agama perlu bercakap berlandaskan undang-undang.

Kit Siang dalam ucapannya mempersoalkan mengapa tidak ada sebarang tindakan keatas Presiden Perkasa Ibrahim Ali yang mengancam mahu membakar Bible versi bahasa Melayu.

Namun tiba-tiba Noh bangun dan berkata, perkara yang melibatkan agama perlu bercakap berlandaskan undang-undang.

Kit Siang selepas itu turut bangun dan bertanya kepada Noh adakah beliau seorang yang sederhana (moderat) atau ekstrimis?

“Kekecohan semalam telah menimbulkan persoalan asas tentang bagaimana inisiatif GMM Najib boleh mencapai kejayaan apabila nampaknya mustahil mengenal pasti menteri dan kepimpinan Umno yang komited kepada usaha tersebut,” katanya.

Kata Kit Siang, jika tiga Perdana Menteri awal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein masih hidup, mereka pasti akan kecewa melihat hubungan kaum serta agama di Malaysia sekarang ini.

“Di sebalik keperluan meraikan kepelbagaian budaya dan agama, masih ada sekumpulan atau individu yang secara melulu serta sewenang-wenangnya mencaci kepelbagaian ini,” ujarnya. – Roketkini.com