Berita

Wanita Umno jangan jadi ‘mak turut’ pertahan Akta Hasutan

GEORGE TOWN, 12 NOV: Daripada hanya menjadi ‘mak turut’ kepada kerajaan BN, Wanita Umno sepatutnya fokus kepada perjuangan memartabatkan wanita di Malaysia, yang diakui ketinggalan berbanding negara-negara lain.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata demikian mengulas pengumuman Wanita Umno, bahawa sayap parti itu menerusi cawangannya di seluruh Malaysia akan melancarkan kempen pro-Akta Hasutan.

Dalam sidang media dua hari lalu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil  berkata, mereka akan mengadakan forum dan program kononnya untuk mendidik rakyat mengenai kepentingan mempertahankan akta itu, serta akan mengumpul 1 juta tandatangan dan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Membidas pengumuman itu, Chong Eng mengingatkan Shahrizat bahawa Wanita Umno mempunyai tugas lebih penting daripada memperjuangkan akta lapuk yang menindas hak asasi rakyat.\

“Tanggungjawab beliau adalah untuk bersuara demi wanita Malaysia, bukannya menjadi bidak catur tuan politiknya semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sebagai bekas Menteri Pembangunan Wanita, beliau patut sedar masalah kemiskinan, ketaksamaan dan keganasan yang masih melanda wanita. Sebagai Penasihat Khas Perdana Menter mengenai usahawan dan profesional wanita, beliau patut tahu masalah diskriminasi serta halangan yang dihadapi wanita di tempat kerja,” katanya lagi.

Exco Pulau Pinang itu turut memetik Laporan Jurang Gender Sedunia oleh Forum Ekonomi Dunia, yang menyaksikan Malaysia merudum kepada kedudukan 107 (daripada 142 negara) pada tahun ini, daripada tangga 102 pada tahun sebelumnya.

“Malah, sejak laporan pertama pada tahun 2006, negara kurang mencapai kemajuan berbanding negara lain. Namun, kita tidak banyak mendengar daripada Shahrizat tentang bagaimana untuk memperbaiki keadaan itu,” katanya lagi.

Sehingga hari ini, lebih 20 ahli politik Pakatan, ahli akademik dan aktivis masyarakat disiasat di bawah Akta itu.

Justeru itu katanya, tiada sebab untuk Wanita Umno sibuk mempertahankan akta zalim tersebut, pada masa masih ramai wanita yang memerlukan pembelaan.

“Jika ingin serah memorandum kepada Najib, biarlah ia tentang sokongan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihanraya, perkhidmatan awam dan peringkat pembuat keputusan.

“Saya lebih rela melihat kempen mengumpul sejuta tandatangan demi mengangkat martabat wanita, bukan untuk menutup suara dan menindas rakyat.

“Beliau tidak patut merendahkan martabatnya sendiri dengan menjadi ‘mak turut’ kepada tuan politiknya. Wanita Malaysia, termasuk di dalam Umno berhak kepada kepimpinan yang jauh lebih baik dari itu,” katanya lagi. – Roketkini.com