Berita

DAP Johor saran kerajaan negeri terajui pembaharuan KTM

JOHOR BAHRU, 13 NOV: DAP menggesa kerajaan Johor untuk menerajui sendiri pembaharuan Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan perkhidmatan keretapi di negeri itu.

Adun Senai Wong Shu Qi dan Adun Bekok Lim Eng Guan dalam satu kenyataan bersama berkata, masanya telah tiba untuk kerajaan negeri menerajui inisiatif pembaharuan ini berikutan pelbagai masalah yang dihadapi KTM.

“Kami mencadangkan agar syarikat keretapi serantau dibentuk kerajaan negeri untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Johor menggunakan sepenuhnya infrastruktur KTM sedia ada.

“Pusat juga hendaklah mempermudahkan penubuhan tersebut kerana ia akan memberi manfaat melalui kutipan levi atau bayaran tol daripada pajakan trek atau asetnya kepada Syarikat Keretapi Johor,” kata mereka.

Dengan itu, kata mereka lagi, Johor akan menjadi model perubahan kepada pengangkutan awam serantau.

Ia merujuk kes penempatan semula depoh KTM di Kempas Baru dan projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru yang sehingga kini masih belum dimulakan.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan, depoh penyenggaraan KTM di Kempas Baru ‘tidak memuaskan kerana sehingga Ogos 2014 projek masih tidak siap, dan tidak mengikut jadual walaupun diberi kelulusan dan tambahan masa’.

Hisniaga Sdn Bhd (HSB), syarikat yang dilantik melalui tender terhad seharusnya menyelesaikan pembinaan tersebut dalam tempoh 18 bulan bermula 17 Januari 2012 hingga 16 Julai 2013, namun sehingga kini projek tersebut masih belum dimulakan.

“Ini bukan kali pertama kelewatan projek KTM di Johor berlaku.  Pembinaan landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru masih belum dimulakan walaupun isu pengambilan tanah telah diselesaikan lebih awal,” tegas mereka.

Ujarnya, Kementerian Pengangkutan seharusnya meletakkan projek ini sebagai keutamaan berdasarkan kepentingan ekonomi dan faedah sosial yang dijana sebaik perkhidmatan keretapi yang cekap berjaya dilaksana.

“Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan digesa bertindak segera untuk melakukan pembaharuan KTM, bermula dengan menggantikan pengurusan atasan semasa,” ujarnya. -Roketkini.com