Berita

Kerajaan sembunyi belanja RM30 bilion ‘firma tak dikenali’

KUALA LUMPUR, 13 NOV: DAP mengecam tindakan kerajaan menyembunyikan perbelanjaan hampir RM30 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd (PFI), firma yang memiliki liabiliti ketiga terbesar di kalangan semua syarikat milik kerajaan.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming yang memetik siri ketiga Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013 berkata, liabiliti PFI sehingga 2012 adalah berjumlah RM27.8 bilion.

Menurutnya, PFI ditubuhkan bertujuan mendapatkan pembiayaan bagi projek kerajaan, dan syarikat itu turut berperanan mengagihkan RM20 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

“Sangat sedikit ketelusan bagaimana RM20 bilion itu dibelanjakan, termasuk terma perjanjian konsesi antara kontraktor dan kerajaan untuk penyewaan, serta pajakan bangunan yang dibina di bawah PFI,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendedahkan pusingan kedua pembiayaan bernilai RM10 bilion diperuntukkan kepada PFI.

LKAN juga menyebut, RM7.57 bilion daripada RM10 bilion diperuntukkan kepada 16 Kementerian atau agensi untuk melaksanakan 313 projek.

Dalam pada itu kata Kian Ming, semakan fail syarikat PFI mendapati, kesemua pinjaman diperolehi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Apa yang lebih membimbangkan adalah hakikat bahawa kerajaan telah cuba menyembunyikan perbelanjaan ini dari Belanjawan mereka.

“Kerajaan mewujudkan satu perjanjian yang mengelirukan di mana 186 bidang tanah dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dipajak kepada PFI.

“Selepas itu pesuruhjaya sendiri diminta untuk menyewa semula dari PFI dengan separuh bayaran tahunan dari 2012 ke 2027 berjumlah RM29.2 bilion.

“Syarikat itu kemudiannya akan menggunakan bayaran ini daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk membayar bayaran faedah kepada KWSP,” ujarnya.

Justeru itu, Kian Ming mendesak Kementerian Kewangan supaya mendedahkan senarai penuh projek-projek dan setiap kosnya yang telah diberikan kepada PFI. – Roketkini.com