Berita

Kecewa Jabatan Audit Negara enggan audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Peranan Jabatan Audit Negara (JAN) sama sekali tidak sama dengan firma audit swasta dalam membuat audit kepada firma, terutama yang melibatkan kepentingan dan wang rakyat, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bahawa Jabatan Audit Negara tidak akan mengaudit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan alasan ia telah dibuat firma audit swasta.

Menurut laporan media semalam, Ambrin berkata, “1MDB telah diaudit salah satu firma audit terbesar…Tiada sebab untuk kami meminta mereka membuka akaunnya semula.”

“Saya menghormati Ketua Audit Negara yang menjadi sumber kita membongkar penipuan yang dilakukan jabatan dan agensi kerajaan. Namun sama sekali tidak setuju dengan kenyataannya

“Peranan firma audit yang menyediakan penyata kewangan untuk syarikat amat berlainan dengan peranan JAN,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, peranan JAN bukan sekadar mengaudit invois dan resit, menjadualkan kunci kira-kira (balance sheet), atau untung rugi semata-mata, tetapi menilai perolehan, kegiatan, selain pemantauan agar  syarikat mematuhi undang-undang.

“Misalnya, jika 1MDB membeli tanah di Pulau Pinang dengan harga RM1.3 bilion, tugas firma audit merekodkan pembelian dan memastikan bayaran dan resit yang diperlukan direkodkan.

“Manakala, peranan JAN menentukan sama ada pembelian untuk kepentingan kerajaan melibatkan kadar pulangan, nilai transaksi, rasional dan rancangan untuk projek itu serta sama ada ia disiapkan mengikut jadual,” kata graduan ekonomi itu lagi.

Maka, beliau sekali lagi menggesa agar Ambrin menimbang kembali untuk melibatkan 1MDB dalam audit JAN pada masa akan datang.

“Selain kerajaan, 1MDB adalah penghutang terbesar di negara ini. Jika  bankrap seperti mana yang berlaku kepada Renong Bhd pada lewat 1990-an, akibatnya kepada ekonomi negara amatlah merbahaya,” katanya lagi.

1MDB yang dimiliki Kementerian Kewangan turut menanggung hutang lebih RM36 bilion selain gagal menyediakan penyata kewangan mengikut jadual.

Jelas Pua, kerajaan secara tidak langsung menjadi penjamin, apabila mengeluarkan ‘surat sokongan’ bagi sebahagian hutangnya.

‘Tak takut jika diambil tindakan’

Pua turut mengalu-alukan cadangan untuk membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan ketegasannya membangkitkan isu 1MDB.

“Mereka menuduh saya menipu Dewan Rakyat dalam ucapan ketika perbahasan Belanjawan 2015. (Walhal) fakta dan angka yang dipetik diambil daripada sumber yang dipercayai, malah terbuka kepada umum,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan itu memperlekehkan Dewan, kerana jika benar beliau mengemukakan fakta salah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong memperbetulkannya dalam perbahasan, bukan mengelak dari menjawab seperti yang berlaku dua hari lalu.

“Cubaan mereka untuk menutup mulut saya hanya memberi keyakinan yang saya di pihak yang benar,” katanya lagi. – Roketkini.com