KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan Pulau Pinang menyangkal dakwaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya kerajaan negeri bersetuju untuk membubarkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan menyerapnya ke dalam unit kepolisan komuniti.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan cadangan Ahmad Zahid dan tetap dengan keputusan sebelumnya untuk membawa isu itu ke mahkamah.
“Ketika bertemunya di parlimen Rabu lalu, beliau mencadangkan agar PPS diserap ke dalam unit kepolisan komuniti. Saya hanya cakap, bagi kertas cadangan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.
“Maka untuk mengatakan saya sudah setuju dengan cadangan itu adalah tidak benar,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Malah katanya, kerajaan negeri berpegang pada keputusan mesyuarat Exco 5 November lalu untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung pengharaman PPS oleh KDN.
Dalam sidang media di Bukit Aman semalam, Ahmad Zahid mendakwa Guan Eng bersetuju untuk menggantikan PPS dengan unit kepolisan komuniti yang akan ditubuhkan di seluruh negara.
Kata Setiausaha Agung DAP itu lagi, beliau terkejut selepas mendapat tahu pengumuman Ahmad Zahid, apatah lagi hal itu tidak boleh diputuskan tanpa melalui masyuarat Exco terlebih dahulu.
“Saya rasa sedikit ‘luar biasa’ bila pengumuman itu dibuat, sedangkan ia hanya cadangan sahaja. Keputusan bukan dibuat saya seorang, tetapi mesyuarat Exco.
“PPS adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu polis memastikan Pulau Pinang menjadi negeri yang selamat. Matlamat ini tidak pernah berubah. Sebab itu kita akan cabar di mahkamah,” katanya lagi.
Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah meminta peguam Tommy Thomas, Datuk Malik Imtiaz dan Datuk S Ambiga bagi memulakan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd Khalid Shariff pada 4 November lalu mengarahkan Jabatan Insolvensi membekukan kesemua akaun dan aset milik PPS.
Ia berikutan pengisytiharan KDN bahawa PPS adalah pertubuhan haram di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966, menyebabkan akaun dan asetnya boleh dibekukan selain membatalkan penggunaan nama, simbol, lambang dan logo. – Roketkini.co