Berita

Pulau Pinang upayakan wanita melalui konsep ‘jaringan’ dan ‘bimbingan’

GEORGE TOWN, 15 NOV: Selaras dasar mengupayakan golongan wanita, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan memantapkan usaha itu melalui bimbingan dan jaringan (mentoring and networking)

Berucap dalam sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN) dua hari lalu, Exco Pembangunan Wanita Chong Eng berkata, usaha itu akan dimulakan melalui forum ‘Lean In @ Penang’.

“Forum ini berdasarkan idea-idea dalam buku ‘Lean In: Women, Work and The Will to Lead’ oleh Ketua Pegawai Operasi Facebook Sheryl Sandberg,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga diminta menyediakan pusat latihan khas untuk golongan muda wanita bagi membuka peluang mereka menyertai industri pembuatan dan perkhidmatan.

“Saya ambil maklum cadangan Sungai Pinang (Lim Siew Khim) bahawa beliawanis perlu diberi peluang menyertai industri tersebut.

“Maka, kerajaan negeri dipohon menyediakan pusat latihan kepada beliawanis, untuk mengurangkan pergantungan kepada sektor perkilangan.

“Kerajaan negeri akan mengkaji dengan lebih lanjut, termasuk berhubung penglibatan beliawanis dalam latihan teknikal dan vokasional yang mampu mengurangkan pengangguran dan kekangan sara hidup terutama kepada beliawanis yang tidak melanjutkan pelajaran ke universiti,” kata Ketua Wanita DAP itu lagi.

Wanita sebagai pemimpin

Beliau turut bersetuju dengan saranan Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey agar kerajaan negeri mengenalpasti golongan wanita yang berpotensi untuk dipupuk menjadi pemimpin.

“Selain daripada segi dasar, saya setuju dengan (cadangan ADUN) Pulau Tikus bahawa perhatian perlu diberi kepada pembangunan insan wanita, khususnya meningkatkan perwakilan di tahap kepimpinan dan pembuat keputusan.

“Wanita berpotensi perlu dikenalpasti dan dipupuk,, termasuk melalui sokongan berbentuk ‘mentorship’ daripada pemimpin wanita berpengalaman adalah strategi berkesan meningkatkan keyakinan dan kebolehan wanita untuk memimpin,” katanya.

Justeru, katanya lagi, beliau menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar kepada golongan muda wanita untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Ini agar perkembangan mereka mencerminkan hasrat kita untuk mencapai keseimbangan gender yang lebih baik di peringkat pembuat keputusan,” katanya lagi.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini, DAP mengumumkan untuk mengusulkan pindaan terhadap perlembagaan parti bagi menetapkan kuota 30 peratus wanita dalam jawatan CEC. – Roketkini.com