Sastera

Hamka mengajar bagaimana bercinta

“Penyakit ini telah terang namanya. Penyakit tetapi nikmat, nikmat tetapi penyakit. Orang ditimpanya tetapi orang tidak hendak sembuh daripadanya…penyakit cinta!”

Bagi yang tidak pernah membaca novel Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, petikan di atas sudah cukup bagi mereka untuk mengagak tema utama yang ingin Hamka, pemilik karya ini, sampaikan.

Mungkin ada kalangan kita bertanya, apakah gerangannya seorang ulama mengarang novel cinta? Tambahan pula hubungan cinta antara kedua-dua watak utama Zainuddin dan Hayati yang tidak punya apa-apa ikatan sah, disulam pula dengan madah-madah puitis dan adegan bergaul serta berpegang tangan? Tidakkah ia terlarang di sisi Islam? Bukankah tugas seorang ulama atau agamawan itu ialah mengarang kitab-kitab fikah dalam menerangkan mana halal, mana yang haram, atau menjelaskan batas-batas aqidah seorang Muslim dan perkara-perkara yang membawa kepada kekufuran? Saya katakan, ini bukan novel biasa. Bukan karya picisan, bukan riwayat murahan. Ini adalah kitab yang agung.

Falsafah cinta

Cinta yang diungkapkan dalam kisah ini begitu indah, begitu syahdu, begitu mengasyikkan. Namun ia bukan cinta biasa, bukan sekadar cinta antara dua jiwa. Ia cinta yang lahir dari keinsafan dan kesedaran bahawa ia adalah anugerah Tuhan yang perlu dijaga, dipupuk dan disemai dalam setiap jiwa. Cinta yang didasari pada konsep kurniaan Tuhan ini tidak akan sama dengan cinta palsu yang didasari pada hawa nafsu dan syahwat yang bergelora.

“Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta………Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh.”

Luahan hati Zainuddin kepada kekasihnya Hayati di atas menzahirkan betapa cinta hakiki itu sifatnya Rabbaniy, sesuai sekali dengan sifat al-Rahman dan al-Rahim, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; namun tangan-tangan dan hati-hati manusia durjanalah yang telah mengotori dan mencemarkannya. Jangan dikeranakan beberapa kerat muda-mudi yang hanyut dalam gelora nafsu dan ulitan syaitan itu, kita letakkan kesalahan pada cinta! Cinta tidak bersalah sama sekali! Jangan pula berdalilkan ayat Quran laa taqrabuu alz-zinaa (janganlah kamu mendekati zina), kita mengharamkan pula cinta! Yang diharamkan itu mendekati zina, bukannya bercinta. Kalau kalian sendiri bercinta dan terjerumus kedalam lembah zina, maka kesalahan adalah di atas pundak kalian yang gagal menggembleng kekuatan cinta dalam menundukkan nafsu gelora.

Kendati pun, betapa kerap kita mendengar kisah orang yang bercinta, hidupnya gundah gelana, tidak tentu arah dan tiada arah tujuan. Kalau cinta itu benar-benar kebahagiaan yang tertinggi, seperti yang dikatakan Zainuddin:

“jangan sampai terlintas dalam hatimu, bahawa di dunia ada satu bahagia yang melebihi bahagia cinta. Kalau kau percaya bahawa kebahagiaan selain cinta, celaka diri kau. Kau menjatuhkan hukuman kematian ke atas dirimu sendiri!”

Maka mengapakah sekian banyak manusia yang bercinta, mereka tidak mendapat satu apapun melainkan ketidaktentuan dan kesengsaraan? Mengapa hidup mereka hanya bersulam air mata duka berbanding hilai tawa?

Dalam perenggan yang lain, sang protagonis telah lebih dahulu merungkai persoalan ini:

“Cinta bukanlah melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis Sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan. Berangkatlah! Dan biarlah Tuhan memberi perlindungan pada kita.”

Cinta itu sebetulnya mendorong kecekalan hati menempuh ranjau kehidupan. Cinta itu sepatutnya menyalakan obor harapan dalam jiwa pemiliknya. Cinta itu seharusnya memberikan kita sebab untuk terus berjuang menggapai hasrat dan cita-cita. Jika percintaan yang sedang dirasai itu tidak menepati maksud-maksud ini, maka ia tidak layak dinamakan cinta dalam erti kata sebenar. Ia hanya cinta plastik yang dibuat-buat, penuh kepura-puraan dan kepalsuan, atau didasari pada tarikan material dan seksual.

Kritik sosial

Berbeda dengan sastera-sastera cinta lainnya, novel ini tidak hanya berkisar tentang riwayat cinta antara dua insan berlainan jantina semata. Bahkan ia turut memuatkan beberapa kritik sosial terhadap suasana masyarakat pada ketika itu. Antara yang menjadi sasaran utama kritikan Hamka ialah ketaksuban masyarakat Minangkabau pada adat-istiadat dan amalan turun-temurun mereka sehingga sanggup mengenepikan ajaran Syariat, contohnya dalam soal pewarisan harta bapa kepada anaknya, dan hak seorang bapa dalam menguruskan soal perkahwinan anak perempuannya.

Selain itu, aspek pembaharuan dan pemodenan juga turut mendapat perhatian. Pada satu bab, beliau (Hamka) memuji pembaharuan dalam bidang pendidikan dimana subjek-subjek yang diajar di sekolah tidak lagi sekadar subjek-subjek agama dan Arab, bahkan merangkumi Bahasa Inggeris, Belanda dan pelajaran muzik. Isu yang sama juga turut diperjuangkan tokoh reformis Indonesia Kiyai Ahmad Dahlan yang prihatin akan nasib bangsanya dan memberi perhatian yang khusus dalam bidang pendidikan untuk anak-anak tempatan.

Seseorang ulama itu tidak hanya dianggap hebat jika mampu mengarang kitab fiqh ibadat sepuluh jilid, atau mensyarahkan hadis-hadis seputar permasalahan dajjal dan hari kiamat . Bahkan, apalah gunanya jika kitab-kitab yang tebal-tebal itu hanya mengulang-ulang isi yang telah lumat dibahaskan ulama ratusan tahun dahulu. Berapa banyakkah sangat manfaatnya jika tulisan-tulisan itu hanya sekadar menyalin kembali teori-teori lama tanpa punya inisiatif untuk mengemukan idea-idea yang lebih segar sesuai dengan kondisi semasa?

Buya Hamka telah membuktikan, melalui wasilah novel setebal 217 mukasurat sekalipun, dakwah Islam dapat disampaikan, mesej-mesej pembaharuan dapat diketengahkan dan kritik-kritik sosial dapat dilontarkan.

Kehebatan seorang ulama haruslah juga diukur sejauh mana beliau mampu melembutkan kerasnya hati para pembaca, atau sejauh mana kemampuannya menenangkan jiwa-jiwa yang gundah-gelana. Melalui susunan kata yang puitis dan gubahan ayat yang indah, membaca karya beliau ini seolah-olah kita sedang mendengar nyanyian para bidadari di syurga. Sungguh mengasyikkan.