Berita

Mengapa pegawai terlibat kematian Teoh Beng Hock naik pangkat?

KUALA LUMPUR, 17 NOV: DAP mempersoalkan mengapa sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, bukan sahaja tidak ada tindakan dibuat, malah paling tidak masuk akal apabila salah seorang dari mereka dinaikkan pangkat.

“Sudah lebih dua bulan selepas penghakiman dibuat, jadi mengapa tidak ada tindakan diambil terhadap ketiga-tiga pegawai itu.

“Keengganan untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga mereka telah menyebabkan timbulnya persoalan apakah ini adalah protes secara senyap terhadap perintah hakim atau cubaan untuk menutup kes? soalnya.

Nie Ching menegaskan, kegagalan membawa ketiga-tiga pegawai tersebut juga secara tidak langsung merupakan penghinaan terhadap sistem kehakiman negara.

“Adakah Malaysia ini telah bertukar menjadi sebuah negara di mana perbuatan salah tapi tidak ada sesiapun didapati bersalah?,” tegas Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dalam jawapan bertulisnya pada Nie Ching 12 November lalu menyatakan ketiga-tiga pegawai itu iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus kini masih bertugas bersama SPRM.

Menurut Low, Hishamuddin masih kekal bertugas sebagai Pegawai Siasatan Gred 54 dan Ashraf, Pegawai Siasatan Gred 29.

Manakala Anuar pula telah dinaikkan pangkat dari Pegawai Siasatan 44 kepada Pegawai Siasatan Gred 48.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Rayuan telah sebulat suara memutuskan bahawa kematian mendiang Beng Hock lima tahun lalu adalah diakibat perbuatan pihak-pihak tidak bernama termasuk pegawai-pegawai SPRM.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memberi penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian.

Dalam memberikan penghakiman, Datuk Mohamad Ariff menyebut bahawa kecederaan yang dialami mendiang Beng Hock sebelum jatuh menandakan wujudnya unsur-unsur jenayah. -Roketkini.com