Berita

Najib lambat, bentang RCI Sabah lepas enam bulan ‘diperam’

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pengumuman kabinet berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang haram Sabah nampaknya hanya memanjangkan lagi episod pengkhianatan terhadap rakyat negeri itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata demikian mengulas tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang akhirnya mengumumkan akan membentangkan laporan itu, selepas ‘memeramnya’ selama enam bulan.

Selain itu, kabinet akan mewujudkan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk mengkaji laporan dan mengusulkan cadangan berhubung masalah itu.

“Penubuhan jawatankuasa dan pelantikan Pairin selaku ketuanya menjadi bukti kurangnya iltizam politik untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lama.

“Sedih, tetapi inilah hakikatnya. Belum terlihat pengakhiran 40 tahun pengkhianatan kepada rakyat Sabah,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Buktinya kata Kit Siang, apabila Pusat tidak segera membentangkan laporan ketika ia siap 14 Mei lalu, serta menyatakan komitmen untuk menerima cadangan.

“Itu bukti paling kuat menunjukkan BN di peringkat persekutuan atau negeri tidak pernah memiliki iltizam politik untuk menyelesaikan masalah yang selama ini menjadikan rakyat Sabah seperti orang asing di bumi sendiri,” katanya lagi.

Kit Siang merujuk ucapan Pairin pada Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-29 semalam, yang mengakui iltizam politik yang kuat diperlukan, selain pelaksanaan cekap dan penguatkuasaan tegas bagi menghadapi masalah itu.

“Tiada langsung iltizam politik untuk menyelesaikannya. Jika ada, ia tidak akan mengambil masa tujuh bulan untuk membentangkan laporan.

“Adakah Pairin berani menyatakan bilakah masalah pendatang tanpa izin di Sabah ini akan diselesaikan? Pada 2015, 2016, sebelum atau selepas pilihanraya umum ke-14, malah pada tahun 2020?.

“Ataupun penyakit bertangguh ini akan berterusan – di mana jawatankuasa khas akan mengambil masa berbulan atau bertahun sebelum menghantar cadangan, yang akan mengambil masa bertahun lagi sebelum dibentangkan?,” kata Kit Siang. – Roketkini.com