Berita

Shabery tak perlu berbuih mulut sebut hal lain, jawablah soalan penting – Lip Eng

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tak perlu mengeluarkan kenyataan menyindir, kononnya Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng tidak tahu perbezaan antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Dalam satu kenyataan Lip Eng berkata, Shabery yang mungkin terlupa bahawa desakan kuat Pakatan Rakyat memungkinkan tarikh 16 September diisytihar sebagai cuti umum.

“Kesilapan saya satu patah perkataan itu yang beliau raikan. Berbeza dengan rakan menterinya yang seorang lagi boleh hilangkan enam perkataan daripada ucapannya.

“Saya perlu perjelaskan bahawa saya tahu betul apa perbezaan antara Hari Merdeka pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Tapi tak apa. Saya tak ambil hati,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan.

Shabery hari ini menyindir Lip Eng yang menurutnya keliru dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Lip Eng yang mencadangkan agar kerajaan mengutamakan sambutan ‘Hari Kebangsaan’ pada 16 September setiap tahun berbanding sambutan ‘Hari Merdeka’.

Shabery berkata, beliau berpendapat bahawa parti DAP juga keliru mengenai dua hari kebesaran itu, sepertimana Lip Eng.

Namun, Lip Eng menegaskan soalan dibangkitkannya di Parlimen hari ini adalah sama ada kerajaan bercadang meraikan 16 September dengan lebih meriah demi perpaduan rakyat Malaysia yang terbentuk hasil perpaduan Semenanjung bersama Sabah dan Sarawak.

“Pastinya perayaan Persekutuan Malaysia lebih besar maknanya bagi warga Sabah dan Sarawak.

“Maka kenapa hanya Hari Merdeka yang disambut meriah. Ini saya dapati daripada jawapan kerajaan sendiri hari ini di Parlimen memberitahu perbelanjaan Hari Kemerdekaan adalah RM20 juta tahun lalu, dan RM17 juta tahun ini,” ujarnya.

Namun, kerajaan mengelak soalan tambahan Lip Eng mengenai kemungkinan bertambahnya perbelanjaan menyedia majlis sambutan Hari Kemerdekaan memandangkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan.

“Adakah kerajaan bercadang untuk berjimat memandangkan hakikatnya kerajaan tidak begitu berduit sehingga perlu mencukai rakyat miskin.

“Walaupun parlimen menyatakan perbelanjaan RM17 juta untuk perayaan tahun ini tanda kerajaan berjimat, kita tahu tahun ini memang kerajaan meraikannya secara ‘kecil-kecilan’, lantaran negara bersedih dengan tragedi MH17 dan MH370.

“Jadi sebenarnya kerajaan tidaklah ‘berjimat’ sangat,” kata Lip Eng.

Justeru itu, beliau sekali mengulangi soalannya sama ada kerajaan akan terus berbelanja besar bagi perajaan Hari Merdeka dan menganaktirikan Hari Malaysia serta unjuran perbelanjaan perayaan tersebut berikutan pelaksanaan GST.

“Tak perlu berbuih mulut sebut perkara yang tak ada kena mengena, jawab dahulu soalan yang lebih penting,” kata Lip Eng. – Roketkini.com.