Berita

57 hari berlalu, mana laporan siasatan hasutan Zahid Hamidi?

IPOH, 20 NOV: DAP Perak kesal dengan sikap pilih kasih polis yang sehingga kini masih tidak mengemukakan sebarang hasil siasatan terhadap laporan mengenai kenyataan menghasut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha DAP Negeri Wong Kah Woh berkata, ia menunjukkan bahawa ada pihak atau individu yang terlepas dari dikenakan sebarang tindakan meskipun turut sama mengeluarkan kenyataan menghasut atau mengancam.

“Apabila siasatan dan tuduhan dikenakan terhadap wakil-wakil Pakatan Rakyat dan ahli akademik, polis dan Peguam Negara bertindak dengan pantas. malangnya gagal menerapkan kecekapan sama dalam kes melibat Zahid.

“Sudah 57 hari sejak laporan dibuat. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri menyatakan pada 15 Oktober (36 hari lalu) bahawa kenyataan Zahid sudah dirakam termasuk video juga telah diperolehi.

“Tapi tidak ada sebarang perkembangan sehingga hari ini. Sebaliknya apabila melibatkan pemimpin Pakatan, Peguam Negara dengan pantas membawa kes ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan penekanan kepada kesaksamaan undang-undang dan tidak ada individu yang kebal darinya termasuk Zahid.

Zahid dilaporkan berkata pada 20 September lalu, bahawa polis akan menyiasat sebarang laporan berkaitan hasutan ‘dalam masa 24 jam’

“Hakikatnya sekarang, polis gagal membuktikan hasil siasatan tersebut selepas 57 hari, memberi tamparan kepada Zahid dan Khalid sendiri,” ujar Kah Woh

Justeru itu, Kah Woh yang juga Adun Canning, menggesa Khalid agar mengumumkan segera hasil siasatan terhadap Zahid kepada umum untuk membuktikan polis tidak pernah memilih ‘bulu’.

Pada 24 September 2014, Kah Woh bersama pimpinan DAP Perak membuat laporan polis terhadap ucapan Naib Presiden Umno itu di Tumpat yang menuduh DAP melaga-lagakan masyarakat Melayu dan Cina ketika rampasan kuasa BN di Perak, lima tahun lalu.

Zahid dalam ceramah kempen BN di Pengkalan Kubor turut menuduh ahli DAP membaling batu ke arah kereta Raja Muda Perak, ketika perhimpunan membantah rampasan kuasa itu. -Roketkini.com