Berita

DBKL bazir RM565 juta bayar sistem trafik ITIS

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan Integrated Transport Information System (ITIS), sebuah sistem maklumat trafik yang menggunakan papan tanda elektronik.

Menurut Lip Eng sehingga 2013, DBKL membazirkan sejumlah RM565.74 juta kepada pengendali ITIS, sedangkan paparan maklumat tersebut hanya menyiarkan ucapan-ucapan perayaan.

Katanya, sistem tersebut tidak berjaya menyuraikan kesesakan lalulintas di ibu kota, kerana penguna jalan raya hanya dimaklumkan bahawa sesuatu kawasan itu sesak hanya sesudah berada di jalan tersebut.

Papan tanda elektronik ITIS tidak pernah berfungsi di Batu 5 Jalan Ipoh

Papan tanda elektronik ITIS tidak pernah berfungsi di Batu 5 Jalan Ipoh

Dalam pada itu Lip Eng memaklumkan, maklumat berhubung peruntukan kepada pengendali ITIS bagi tahun 2015 ditakrifkan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Saya telah melihat draf belanjawan DBKL 2015. Saya boleh menyatakan bahawa jumlah wang yang terlibat adalah tidak masuk akal dan melampau,” kata Lip Eng dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan mengambil tindakan tegas termasuk melapor kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pihak yang meluluskan projek ITIS.

Difahamkan, kini terdapat kira-kira 1,200 papan panel elektronik dan kamera litar tertutup (CCTC) dalam sistem bersepadu ITIS yang dipasang di seluruh Kuala Lumpur.

Justeru itu, Lip Eng mendesak kontraktor yang menyebabkan kerugian RM565.74 juta wang rakyat serta kegagalan sistem ITIS dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya menyatakan di parlimen, lebih baik Tengku Adnan hentikan sahaja sistem ini yang nampaknya sudah tidak boleh dibantu lagi memandangkan ia menggunakan teknologi ‘purba’ dan perkakasan zaman dinosaur.

“Membazir belanja. Batalkan sahaja,” ujar Lip Eng.