Berita

Pengangguran di Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand, Singapura

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kerajaan perlu mengambil langkah segera menangani masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) di kalangan anak muda kerana memberi kesan buruk pada jangka masa panjang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata, antara langkah perlu diambil adalah berkaitan mutu pendidikan, latihan dan pekerjaan.

“Mutu pendidikan, latihan dan pekerjaan hari ini amat penting kerana kesannya akan kekal sekurang-kurangnya untuk satu dekad.

“Jika tiada langkah signifikan diambil hari ini, kita akan lihat kesan buruknya.

“Bukan sahaja kepada anak muda, tetapi ekonomi negara keseluruhannya sepuluh tahun daripada sekarang,” kata Steven dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2015 bagi peruntukan Kementerian Sumber Manusia semalam.

Beliau merujuk artikel The Economist edisi September 2011 berhubung kajian di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mendapati pengangguran awal 20-an meninggalkan ‘parut gaji’ yang memberi kesan kepada mutu pekerjaan ketika menginjak usia 30 tahun.

Dalam sesi perbahasan sebelumnya, beliau membangkitkan jawapan Parlimen

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot sebelum ini berkata, pengangguran anak muda di Malaysia pada kadar 10.4 peratus, lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand (3.4 peratus) dan Singapura (7 peratus).

Berhubung aspek guna tenaga tidak penuh, Kementerian Sumber Manusia menyatakan majoriti anak muda (usia 15-24 tahun) bersamaan 67 peratus mendapat gaji RM1,000 ke bawah dan 21 peratus lagi antara RM1,000 hingga RM1,500.

“Berpandukan paras kemiskinan kerajaan Pakatan Selangor pada RM1,500, 88 peratus adalah dalam kategori miskin.

“Ini juga menunjukkan sistem pendidikan kita termasuk program latihan semula yang gagal memberi pekerjaan yang bagus kepada anak muda,” kata Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP itu lagi.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan membuat kajian terperinci berhubung isu ini.

“Hari ini, tiada banyak maklumat tentangnya. Sedangkan kita perlu memahami masalah ini dengan lebih baik bagi merangka penyelesaian yang lebih baik.

“Saya menyeru Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama kementerian berkaitan mengeluarkan laporan NEET (Not in Education, Employment or Training) yang digunakan banyak negara untuk lebih memahami masalah anak muda ini,” katanya lagi. – Roketkini.com