Berita

MP Segambut cadang nama mantan YDPA di kawasan baru

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia dicadangkan menamakan jalan atau di kawasan pembangunan baru bersempena nama mantan Yang Dipertuan Agong.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, keputusan untuk menukar nama jalan sempena mantan Yang Dipertuan Agong adalah keputusan yang baik, demi mengingatkan orang ramai tentang jasa-jasa dan legasi mereka.

“Tetapi adalah lebih baik hal ini dilakukan terhadap jalan-jalan baru, memandangkan terdapat banyak pembangunan di Kuala Lumpur; serta tidak timbul kekeliruan dan pertambahan kos untuk menukar nama jalan-jalan yang lama wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mencadangkan supaya dinamakan semula lapan daripada sekitar 30 lebuhraya di negara ini (Sprint, SUKE, DUKE dan sebagainya) demi memperingati mantan-mantan Yang Dipertuan Agong, jika benar Kabinet begitu serius tentang perkara ini.

“Kuranglah sedikit kekeliruan memandangkan tidak ada banyak kawasan perumahan atau bangunan pejabat di tepi lebuhraya,” tambah Lip Eng

Beliau turut mengulas kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa keputusan menukar nama lapan jalan utama itu bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-Raja, sebaliknya keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ini kerana Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan M Loga Bala sebelum ini berkata keputusan itu dibuat kabinet Jun lalu, setelah dipohon oleh Majlis Raja-Raja.

“Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan harus mengambil masa sehingga empat hari untuk memberi pencerahan tentang pengumuman yang diberikan oleh timbalannya?

“Melihat respon negatif dan sambutan kurang baik daripada orang ramai seperti yang dilaporkan media, saya mengalu-alukan jika Kabinet memutuskan untuk mempertimbangkan semula keputusan rancangan ini,” kata Lip Eng. – Roketkini.com