Berita

Kewangan FGVH tenat, bakal ikut jejak MAS?

KUALA LUMPUR, 3 DIS: DAP memberi amaran bahawa Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) akan menghadapi masalah sama seperti Malaysia Airlines (MAS) jika kerajaan gagal bertindak terhadap penurunan mendadak prestasi kewangan syarikat itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, FGVH rugi RM12 juta pada suku tahun pertama September 2014, yang memaksa harga sahamnya menjunam serendah RM2.99.

Menurutnya, nilai saham FGVH ditutup pada RM3.008, penurunan sebanyak 42.9 peratus daripada harga tawaran RM5.39 pada 28 Jun 2012.

“Datuk Seri Najib Razak, selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri harus bertindak segera mengekang kejatuhan FGVH.

“Jika tidak, kerugian terkini FGVH memberi isyarat permulaan keruntuhan kewangan syarikat itu, sama seperti yang berlaku terhadap MAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2012, FGVH menjana RM9.93 bilion berdasarkan harga institusi RM4.55, dan harga runcit akhir sebanyak RM4.45 sesaham.

Harga saham syarikat perladangan kedua terbesar di Malaysia itu memasuki Bursa Malaysia dengan nilai RM5.39 pada 28 Jun 2012.

Namun, saham FGVH mengalami kerugian selepas penyenaraian dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad mendakwa perkara itu terjadi kerana harga minyat sawit yang tidak menentu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim memberitahu Parlimen dalam jawapan bertulis 13 Oktober lalu bahawa penurunan prestasi FGVH akibat permintaan global dan harga minyat sawit mentah.

Pua menegaskan, jika prestasi teruk FGVH semata-mata berpunca dari harga minyak sawit mentah, sepatutnya semua syarikat perladangan lain ditimpa masalah sama.

Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, sejak enam bulan lalu prestasi FGVH paling teruk berbanding semua syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Merujuk data 15 Oktober lalu Pua menyatakan, saham FGVH jatuh 29.1 peratus berbanding IJM Plantations (kejatuhan 6.3 peratus), IOI Corp (2.7 peratus), Genting Plantations (9.4 peratus) dan Sime Darby (1.6 peratus).

“Dengan data terbaru iniadalah jelas prestasi teruk FGVH bukan hanya disebabkan faktor kejatuhan harga komoditi.

“Hasil kajian menunjukkan terdapat penurunan jelas dalam produktiviti,” ujar Pua. – Roketkini.com