Berita

Najib digesa tidak dolak dalik selesai isu RCI Sabah

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi dolak-dalik bagi menyelesaikan masalah 40 tahun selepas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah (RCIIIS) dikeluarkan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, masalah 40 tahun pendatang tanpa izin di Sabah yang mengubah demografi politik disebabkan krisis sosio-ekonomi, yang tidak pernah berlaku di negeri ini akhirnya diumumkan kepada orang ramai.

“Soalan paling penting adalah sama ada kandungan dan cadangan Laporan RCIIIS menjadi penamat masalah 40 tahun masalah pendatang haram di Sabah, atau kita hanya melihat episod baru bagi kitaran masalah yang sama?

“Apakah tidak ada penyelesaian sehingga tahun 2020, apabila pendatang tanpa izin di Sabah dijangka bertambah kepada tiga juta orang, mengurangkan penduduk asal Sabah sehingga menjadikan mereka minoriti di bumi sendiri? soal Kit Siang.

Dalam pada itu kata Kit Siang, tidak ada pihak yang berani meletakkan keyakinan bahawa Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan diberi kuasa dan mampu melaksanakan syor Laporan RCIIIS.

Justeru itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Menteri Persekutuan yang akan ditugaskan bekerja bersama Pairin bagi menyelesaikan masalah 40 tahun yang membelenggu rakyat Sabah.

“Berapa lama masa akan diambil Pairin? Satu bulan, tiga bulan, enam bulan atau setahun untuk menyelesaikan tugasnya menyusun cadangan mengenai pelaksanaan RCIIIS?

“Najib juga perlu menjelaskan rancangan kerajaan ketika berurusan dengan penemuan cadangan RCIIIS,”  kata Kit Siang.

Namun kata Kit Siang jawatankuasa yang dipengerusikan Pairin itu masih belum mengadakan pertemuan untuk memulakan urusannya, kerana masih belum sepenuhnya ditubuhkan.

“Atau sama ada jawatankuasa laporan RCIIIS yang dipengerusikan Pairin itu hanya jawatankuasa satu orang? soal Kit Siang.

Tambah Kit Siang, hanya kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan syor-syor yang dicadangkan dalam RCIIIS.

Dalam masa sama beliau turut bimbang kerana kelewatan serupa pernah berlaku sebelum ini apabila kerajaan mengambil masa enam bulan untuk memuktamadkan terma rujukan sebelum RCIIIS boleh memulakan kerja.

“Anehnya hanya selepas setahun laporan dihantar berhubung pendengaran awam, sedangkan cadangan itu telah diserahkan secara rasmi kepada kerajaan pada 14 Mei 2014, yang kemudiannya diperam sehingga penerbitannya hari ini,” kata Kit Siang – Roketkini.com.