Berita

KTMB digesa kekal tambang murah laluan ke Singapura

KULAI, 3 DIS: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu segera membuat pengumuman berhubung perkhidmatan keretapi ulang-alik antara Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dan mengekalkan tambang pada harga munasabah, kata ADUN Senai Wong Shu Qi.

Katanya, ini kerana KTMB sebelum ini menyatakan bahawa perkhidmatan tren ulang-alik antara Johor Bahru dengan Singapura akan disediakan bagi setiap jam bermula 1 Disember 2014.

“Tetapi, KTMB secara senyap-senyap menurunkan notis daripada laman webnya tanpa memberikan penjelasan kepada orang ramai. Tindakan ini sangat tidak profesional dan tidak bertanggungjawab,” kata Shui dalam satu kenyataan.

Menurut jawapan Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad di Dewan Undangan Negeri 16 November lalu bahawa tidak ada tambahan perjalanan perkhidmatan kereta api antara Johor Bahru dan Woodlands kerana kekurangan lokomotif dan penumpang.

“KTMB mengumumkan 13 perjalanan bagi laluan tersebut, seminggu menjelang 1 Disember yang kemudiannya mendapat pujian pengguna.

“Namun, ia hanya harapan palsu,” kata Shu Qi.

Beliau merujuk temubual eksklusif Nanyang Siang Pau dengan pengurusan KTMB bahawa perkhidmatan itu ditangguhkan berikutan beberapa isu yang belum selesai termasuk kadar tambang,

Tambah Shu Qi, tambang dikenakan perlu munasabah, dan mampu dibayar kebanyakan pekerja Malaysia yang berulang alik bekerja di Singapura.

Ini kerana kadar cadangan KTMB terlalu mahal, kira-kira RM5 bagi setiap lima minit perjalanan melebihi kadar tambang LRT atau Komuter di Kuala Lumpur.

“Saya menyeru Menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai campur tangan segera dan menyelesaikan masalah ini sebelum Januari 2015,” ujar Shu Qi. – Roketkini.com