Rencana

Mampukah politik kita mendorong rakyat berfikir?

Dua orang kaya, setiap seorang menghabiskan RM 1 juta membeli bunga-bungaan untuk hiasan rumah agamnya. Seorang membeli bunga plastik yang berwarna-warni dan seorang lagi membeli bunga hidup yang segar.

Faktor tarikan bagi yang membeli bunga plastik itu agak mudah, bunga plastik tidak memerlukan kos penjagaan tambahan, lebih mudah dijaga, ditukar ganti jika rosak dan tahan lebih lama – tidak seperti bunga hidup. Ini rasional untung rugi.

Malah, dia menganggap pembelian rakannya yang membeli bunga hidup itu merupakan satu kerugian kerana beban kos dan masa yang akan ditanggung kelak.

Tanggungjawab lebih berat terpaksa dipikul bagi si kaya pembeli bunga hidup. Ini mungkin faktor penolakan bagi si kaya bunga plastik.

Namun bagi si kaya yang membeli bunga hidup, dia yakin pembelian bunga-bunga hidup itu juga bermakna memberi kehidupan kepada pihak lain, misalnya kepada  si pembuat baja pokok atau bunga.

Pelbagai tafsiran pro dan kontra tentang keadaan ini. Semua ada rasional yang berlapis dan lapisan-lapisan ini membezakan pilihan mana yang lebih diterima.

Politik untuk kepentingan siapa?

Keadaan ini juga menyatakan dengan jelas sikap manusia. Adam Smith dalam Wealth of Nation menyifatkan bahawa makanan yang dimakan bukan kerana ehsan si pembuat makanan itu, tetapi diperolehi dari suatu kepentingan oleh si pembuat makanan.

Baik si penjual bunga dan juga kedua-dua si kaya yang membeli bunga-bunga ini mempunyai ciri yang sama, iaitu kerana dan untuk kepentingan diri masing-masing.

Begitu juga dengan dua perserikatan parti politik yang ingin bertarung menjadi kerajaan dan memimpin rakyat. Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kedua-dua seteru berkongsi asas atau sumber yang sama untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyatnya.

Kehendak-kehendak rakyatnya itu pula pelbagai dan tidak terbatas, sedangkan sumber bagi BN dan PR ini juga terbatas, wang misalnya.

BN dan PR mempunyai rasional menjustifikasikan penggunaan sumber ekonomi untuk kebaikan rakyat. Jangan lupa teori Adam Smith, kebaikan untuk rakyat juga kebaikan bagi parti mereka. Tak perlu menafikannya.

Hujah bagi entiti BN lebih kurang sama dengan si kaya bunga plastik. Rasionalnya berkisar tentang citarasa dan faham nilai untung rugi. Bagi BN mungkin BR1M misalnya.

Bagi entiti PR pula, sama seperti si kaya bunga hidup. Tetapi memerlukan rasional lebih banyak dan berlapis-lapis untuk dijelaskan dan dijustifikasikan. Mungkin contoh bagi PR, pendidikan percuma.

Si kaya bunga plastik perlu merasionalkan kepada isterinya, menerusi elemen-elemen kreatif seperti menyembur pelbagai jenis haruman minyak wangi ke atas bunga-bunga plastik ini agar kewangian itu dapat dicium oleh isterinya.

Warna bunga plastik ini akan diabadikan dalam gambar yang mempesonakan. Kreativiti ini menjadi amalan dengan harapan mendorong penerimaan isterinya.

Si kaya bunga hidup juga begitu. Imej-imej susunan bunga dipaparkan, teknik-teknik penanaman bunga akan dijelaskan dengan lengkap serta tips penjagaan bunga juga akan ditunjukan.

Si kaya mungkin akan mencadangkan kepada isterinya untuk bergotong-royong menanam dan menjaganya bersama-sama.

Politik baru atau politik muka baru?

Amalan-amalan dan rasional sebegini adalah budaya. Ia proses mencipta dan memberi nilai terhadap tindak-tanduknya. Upaya inilah yang membezakan rasional mana yang dapat diterima oleh keluarga, rakan atau masyarakatnya.

Dalam konteks politik. sebelum rakyat menerima rasional-rasional ini, soalan utama ialah, mampukah mereka berfikir rasional terlebih dahulu?

Rasional dipermukaan sahaja atau rasional yang berlapis-lapis? Sejauh mana kemampuan rakyat kita ini?

Dapatkah kita jadikan rasional yang berlapis-lapis ini sebagai suatu proses alami (budaya) yang membentuk sikap dan menggerakkan perubahan atau kemajuan ekonomi, sosial dan demokrasi?

Bagi entiti PR sendiri, adakah terdapat di kalangan mereka memikirkan hal seperti ini, sebelum mengajak rakyat berifkir serasional mungkin? Apakah ada hujah yang dapat menolak fikiran, faham politik dan budaya menjadi suatu sikap mereka?.

Jika BN berjaya mengindoktrinasi minda rakyat hingga menjadi bebal, mengapa pula PR tidak berupaya mendorong rakyat berfikiran rasional? Dengan memberi angka, data, kritik dan hujah maka semudah itu majoriti rakyat akan dapat menerima atau menyokongnya?

Hujah-hujah dan data-data amat perlu dan baik sekali, namun dalam konteks hari ini ia belum memadai. Kerana kesemua rasional ini tidak akan dapat dihadam selagi majoriti rakyat tidak ada sikap yang rasional. Rasional adalah lantai yang diperlukan oleh politik baru, tidak cukup sekadar menampilkan muka baru.

Kita hairan mengapa rakyat khususnya orang Melayu (yang semakin ramai berpendidikan) tidak bangkit mempersoalkan ucapan-ucapan rasis UMNO semasa PAU baru-baru ini.

Inilah bukti bahawa rakyat dan politikus masih belum ada budaya dan sikap yang rasional. Kerana itulah UMNO garang dan masih berkuasa. Ini suatu tragedi.

Tetapi, bukan keutamaan untuk kita menumbangkan UMNO, ini bukan agendanya, bukan masanya dan tidak penting pun.

Yang utama adalah membina budaya dengan sikap rasional di kalangan rakyat. Dorongan ini harus rasional dan diteruskan. Namun, saya ragu pandangan ini berupaya membeli kefahaman politikus.

Kerana mereka hanya nampak UMNO sebagai musuhnya, sedangkan pada realiti, musuhnya itu takkan mampu hidup di kalangan rakyat yang mempunyai sikap maju dan rasional.

Jika ada alasan untuk menjayakan usaha ini selepas UMNO-BN tumbang dan PR mendapat kuasa, saya bimbang yang muncul kelak hanyalah UMNO-BN 2.0, bukan politik baru.

Lebih malang, saya juga seorang politikus dalam PR, bukan pembeli bunga yang kaya itu.

Mahdzir Ibrahim, ahli DAP yang mendukung seni dan kebudayaan