Berita

Apakah cukai jualan dikenakan keatas petrol RON95?

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menggesa kerajaan menjelaskan sama ada cukai jualan dikenakan secara senyap-senyap ke atas petrol RON95, berikutan harga semasanya melebihi RM 2.26 seliter.

Teresa merujuk kenyatan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada 31 Oktober, bahawa jika harga minyak mentah dunia menurun, salah satu pilihan kerajaan adalah dengan  mengurangkan harga RON 95 dan mengenakan cukai jualan sebanyak RM0.58 sen.

Pada 17 November Ahmad dilaporkan akan membuat syor kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal untuk mengurangkan harga petrol RON95 jika harga minyak mentah dunia menurun, dan mencadangkan tiada cukai jualan dikenakan apabila harganya dikurangkan pada masa akan datang.

Namun pada 21 November, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan keputusan kabinet bahawa mulai 1 Disember, harga petrol RON95 dan diesel akan ditetapkan mengikut sistem apungan terkawal.

Hasan menambah, sistem apungan terkawal yang diputuskan kabinet adalah sistem yang sama digunakan ketika menetapkan harga runcit petrol RON 97 sejak Julai 2010.

Namun kata Teresa, tiada sebarang pengumuman dari Ahmad Maslan jika cadangannya untuk tidak mengenakan cukai jualan ke atas RON 95 telah diterima.

“Jika tiada cukai jualan dikenakan terhadap RON 95, mengapa harga baru berkuatkuasa 1 Disember tidak lebih rendah daripada RON 97?

“Jika cukai jualan telah dikenakan, kenapa tiada pengumuman?

“Dan jika cukai jualan bukan faktor utama, mengapa harga RON 95 tidak lebih rendah daripada RM 2.26 seliter dan Datuk Seri Hasan Malek perlu menerangkan apakah faktor sebenar,’ ujar Teresa.

Harga baru petrol RON 95 dan RON 97 yang diumumkan Ahad lalu masing-masing pada kadar RM 2.26 dan RM 2.46 selitar.

Di bawah sistem apungan terkawal, kedua-dua RON 95 dan 97 tidak menerima subsidi dari kerajaan,

Manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebelum ini pernah menyatakan, cukai jualan sebanyak RM0.58 sen seliter sentiasa dikenakan ke atas gred premium RON 97.

“Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Hasan Malek perlu menjelaskan kepada orang ramai. Apakah cukai jualan RM0.58 sen secara senyap-senyap dikenakan ke atas RON 95 pada 1 Disember? soal Teresa. – Roketkini.com.