Berita

Apakah Ku Nan akan tukar nama Kuala Lumpur?

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Sekiranya hujah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Tengku Mansor bahawa nama jalan ditukar kerana ‘tak ada erti’, dibimbangi beliau akan turut menukar nama Kuala Lumpur.

“Adakah selepas ini Ku Nan (Tengku Adnan) akan menukar nama ‘Kuala Lumpur’, memandangkan kotaraya ini bukan lagi kuala penuh lumpur?. kata Ahli Parlimen Segambut  Lim Lip Eng.

Beliau merujuk kenyataan Tengku Adnan yang dilapor media semalam bahawa nama jalan ditukar kerana tidak membawa apa-apa makna.

“Jalan Mahameru? Apa (makna) mahameru? Orang Asli Mahmeri saya tahulah,” kenyataan Tengku Adnan dipetik.

Justeru itu, Lip Eng menyarankan Tengku Adnan dan seluruh kementeriannya kembali belajar dan membaca kitab Sejarah Melayu.

“Saya hanya perlu buat carian Google untuk mengetahui bahawa Mahameru besar ertinya bagi sejarah orang Melayu, tempat lahirnya keturunan Sang Nila Utama di Bukit Siguntang.

“Kalau malas baca Sejarah Melayu, di Wikipedia juga ada. Saya tidak percaya ada menteri yang tidak rajin membaca seperti ini,” ujarnya.

Sementara itu, Majlis Raja-raja dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan, tidak pernah meminta untuk menukar nama-nama jalan utama di Kuala Lumpur

 Namun, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Balan tidak meminta maaf kerana mengaitkan keputusan penukaran nama jalan tersebut.

Loga berkata, keputusan menukar nama jalan dibuat kabinet Jun lalu setelah dipohon oleh Majlis Raja-Raja.

Malah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut diperangkap dalam polemik itu apabila menyeru perwakilan di Perhimpunan Agung Umno agar ‘bangkit mempertahankan agama, bangsa dan negara’.

 Kata Khairy, media sosial Twitter dipenuhi lambakan individu yang mempertikaikan jasa bekas-bekas Yang di-Pertuan Agong kepada negara yang kini diabadikan pada nama jalan di Kuala Lumpur.

Sedangkan kenyataan Loga yang mengelirukan itu boleh membangkitkan kemurkaan Majlis Raja-raja, lantaran dituduh bertanggungjawab dalam hal remeh tanpa usul periksa.

“Dalam hal ini Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan sewajarnya merafak sembah memohon ampun atas keterlanjuran timbalannya itu.

 “Tengku Adnan juga mesti memohon maaf kepada orang ramai kerana menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak senang hati, yang mungkin terarah ke pihak Majlis Raja-raja akibat kecuaian pihak kementerian yang diketuai Tengku Adnan dan DBKL,” ujar Lip Eng. – Roketkini.com