Berita

Najib, jangan terlalu gembira indeks persepsi rasuah menurun – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Kedudukan Malaysia di tangga ke-50 Indeks Persepsi Rasuah (Transperency International-TI) tidak membawa sebarang makna kerana sehingga kini kerajaan dilihat tidak pernah melakukan langkah komprehensif untuk membendung gejala tersebut, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Tidak ada alasan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk gembira kerana Malaysia masih belum mencapai sebarang pencapaian besar dalam perang melawan rasuah di bawah pentadbirannya.

“Sebagai rekod, tahun ini adalah tahun keenam berturut-turut kedudukan Najib dalam TI lebih rendah dari Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi.

“(Namun) bolehkah Najib menjelaskan mengapa beliau melanggar sasaran Abdullah Badawi yang meletakkan bahawa Malaysia perlu sekurang-kurangnya berada di kedudukan 30 Indeks TI dalam masa 12 tahun, 2008-2020?, kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Laporan terkini TI baru-baru ini menyatakan kedudukan Malaysia bertambah baik, meningkat tiga anak tangga kepada 50 daripada 175 negara.

Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-53 daripada 177 negara berdasarkan indeks yang mengukur persepsi terhadap amalan rasuah dalam sektor awam.

Sedangkan di bawah pentadbiran Najib aktiviti rasuah dan skandal kewangan dilihat semakin berleluasa dan contoh paling ketara adalah hutang RM42 bilion 1 Malaysia Development Board (1MDB).

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, pencapaian lemah Najib ini jugalah yang menjadikan Mahathir sentiasa bongkak kerana rasuah adalah lebih teruk daripada pemerintahan 22 tahunnya.

“Sudah tentu, kegembiraan Mahathir mengabaikan realiti sebenarnya, bahawa dibawah pentadbirannya pencapaian Malaysia menjunam dan rasuah membiak,” ujarnya.

Tambah Kit Siang, selepas Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan negara, rasuah Malaysia yang pada mulanya dalam keadaan terkawal mula bercambah.

“Sejak tahun 1980-an, rasuah dan skandal kewangan melibatkan berbilion ringgit dengan kekerapan yang membimbangkan.

“Sebagai contoh skandal Bumiputera Malaysia Finance melibatkan kerugian RM2.5 bilion, skandal RM600 juta Maminco untuk menguasai pasaran timah, skandal RM1.5 bilion koperasi kewangan, skandal pertukaran asing RM30 bilion Bank Negara serta RM11 bilion Perwaja, pada 90-an,” ujarnya. – Roketkini.com