Berita

Apungan terkawal harga minyak untuk tampung defisit kerajaan?

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Apakah langkah kerajaan melaksana kaedah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel bertujuan memungut cukai secara tersembunyi dari rakyat untuk menampung defisit bajet kerajaan?

Ahli Parlimen Jaya Utara Tony Pua berkata, ini kerana kaedah sebaliknya iaitu apungan bebas yang menentukan harga petrol secara harian telah diamalkan di seluruh dunia, termasuk United Kingdom dan Australia tanpa menimbulkan masalah kepada pemilik stesen minyak dan pengguna.

“Contoh terdekat adalah Singapura dan Indonesia. dimana harga minyak berubah-ubah setiap hari dengan tujuan persaingan baik tanpa apa-apa masalah.

“Apakah kerana dia (Chua) percaya bahawa rakyat Malaysia ‘bodoh’ seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri? soal Pua.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong minggu lalu berkata, kaedah apungan bebas akan menyebabkan harga runcit minyak turun naik setiap hari dan menimbulkan masalah kepada pengusaha industri dan perniagaan dalam menentukan harga produk mereka.

“Alasan diberikan Timbalan Menteri tidak dapat dipertahankan.

“Atau, apakah langkah kerajaan melaksana kaedah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel bertujuan memungut cukai secara tersembunyi dari rakyat untuk menampung defisit bajet kerajaan? soal Pua.

Dalam pada itu beliau tidak menolak kebarangkalian tindakan itu akan dilakukan kerajaan. lebih-lebih lagi 30 peratus pendapatan negara berpunca dari hasil minyak.

Justeru itu kata Pua, sekiranya cukai tersembunyi ketas minyak dilakukan kerajaan, ia adalah tindakan paling tidak beretika.

“Rakyat tidak tahu berapa banyak mereka dikenakan cukai, dan kadar cukai boleh berubah-ubah dari hari ke hari, minggu ke minggu.

“Tiada siapa boleh memastikan sama ada mereka dikenakan cukai pada kadar dua, enam atau sepuluh peratus. Mungkin lebih tinggi. Cukai bahan api tersembunyi adalah sistem cukai yang tidak beretikaa, lebih tak masuk akal berbanding GST.

“Mencukai secara sewenang-wenangnya keatas rakyat yang tidak mengetahui adalah tanda sebuah kerajaan yang zalim,’ tegas Pua.