Berita

Pemuda UMNO gentar ramai anak muda sertai DAP

BATU PAHAT, 8 DIS: Gesaan Khairy Jamaluddin untuk meremajakan partinya petunjuk nyata ketakutan UMNO terhadap kuasa anak muda yang lebih berpihak kepada pembangkang terutamanya DAP, kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

“Dari ucapan Khairy dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU 2014) baru-baru ini, jelas beliau kagum dengan DAP dan kecewa dengan parti dan pemimpin mereka sendiri yang menolak suara anak muda,” kata Chin Tong dalam Konvensyen bersama Pemuda DAP (DAPSY) dan Wanita Johor di Batu Pahat, semalam.

Kata Liew, kemampuan DAP mengiktiraf dan menghargai pandangan anak muda terbukti apabila enam dari 20 Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dilahirkan selepas 1970, manakala dua darinya iaitu Teo Nie Ching dan Zairil Khir Johari lahir selepas 1980.

“Daripada 104 Adun DAP, 21 orang dilahirkan selepas 1980 manakala lima daripada 13 Adun kita di Johor dilahirkan selepas 1980.

“Dengan pindaan Perlembagaan parti dicadangkan pada Persidangan Kebangsaan minggu depan, bilangan anggota CEC meningkat dari 20 kepada 30 orang sekaligus lebih ramai pemimpin muda dipilih sebagai pembuat dasar parti pada masa akan datang.

“Tidak seperti parti-parti lain, DAP memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin,” ujarnya.

Liew turut memuji usaha Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook yang telah menerajui perubahan bagi DAPSY dengan mengurangkan had umur kepada 35 tahun pada tahun 2012 ketika menjawat sebagai Ketua Pemuda.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dalam PAU 29 November lalu berulang kali menggesa partinya menerapkan konsep peremajaan parti bagi menarik golongan muda yang dilihat cenderung memilih DAP.

Walaupun menggunakan bahasa agak kasar dengan memperlekehkan calon muda Parlimen Teluk Intan DAP Dyana Sofya Mohd Daud, namun beliau secara tidak sedar telah mengagumi DAP yang mengangkat peranan golongan muda.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP turut menyarankan agar DAPSY dijadikan tempat latihan bagi golongan muda berusia 17 hingga 30 tahun, dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. -Roketkini.com