Berita

RCI ada bukti sindiket haram beri kad pengenalan

KOTA KINABALU, 10 DIS: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah (RCIIIS) mendedahkan bukti menunjukkan warga asing diberikan kad pengenalan biru secara haram.

Ketua Pembangkang DUN Sabah Datuk Lajim Ukin berkata, sindiket didalangi individu tertentu itu mendaftarkan warga asing sebagai pengundi dalam daftar pemilih dengan menggunakan kad pengenalan tersebut.

“Kami tahu nama-nama mereka ada dalam daftar pemilih. Jika ia tidak dibersihkan, akibat buruk boleh berlaku,’ kata Lajim yang juga ADUN PKR Klias.

Malangnya kata Lajim, laporan tersebut tidak mencatatkan jumlah sebenar kad pengenalan yang telah dikeluarkan.

Ujar Lajim lagi , Akta Pilihanraya membenarkan parti politik mencabar daftar pemilih yang telah digazetkan.

“Perlembagaan jelas memberitahu hanya warganegara yang layak didaftarkan sebagai pengundi,” ujar Lajim.

Pemimpin Pakatan Rakyat Sabah sebelum ini mendakwa laporan RCI yang diterbitkan pada 3 Disember itu tidak lengkap kerana tidak ditandangani anggota suruhanjaya tersebut.

Malah, terma rujukan yang diberikan siasatan itu tidak memberikan jawapan lengkap.

Kandungan laporan RCI mendedahkan wujud aktiviti rahsia melibatkan pegawai senior Jabatan Pendaftaran Negara yang bertindak atas arahan politik pihak tertentu – Roketkini.com