Berita

Laporan polis keatas 1MDB, apakah Najib dan Jho Low akan dipanggil?

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jutawan Jho Low akan dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya siasatan dibuat terhadap pengurusan 1Malaysia Development Board (1MDB)?

Demikian pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng terhadap laporan polis yang dibuat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Pulau Pinag semalam.

“Kita tidak tahu apa motif Khairuddin. Barangkali beliau hanya mahu mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir menggugat kepimpinan Najib Razak.

“Khairuddin jelas bukan seorang kaki bodek. Dia tidak peduli apa kesan tindakannya terhadap politik peribadinya.

“Kerana menurutnya, laporan polis tersebut ialah terhadap sebuah syarikat, dan bukan terhadap Umno atau pemimpinnya,” kata Lim Eng dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Lip Eng turut mempersoalkan pendirian parti-parti komponen BN yang lain yang sehingga kini membisu terhadap skandal 1MDB yang kini menanggung hutang berjumlah RM42 bilion.

“Saya mahu melihat MCA, Gerakan dan parti-parti komponen BN, serta Paul Low dan Abdul Wahid Omar untuk turut menyatakan pendirian tentang 1MDB secara jelas kepada rakyat.

“Malah saya mencabar mereka untuk menyatakan secara jelas sama ada mereka setuju, tidak setuju atau tidak peduli dengan cara bagaimana 1MDB sedang beroperasi,” tegas Lip Eng.

Dalam pada itu Lip Eng berharap siasatan polis terhadap 1MDB seperti diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
membuahkan hasil yang baik.

“Semoga ia tidak diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) dan kertas siasatan dibuka dan dimajukan kepada Peguam Negara.

“Kita juga teringin mahu melihat sama ada pihak pengurusan tertinggi 1MDB termasuk Najib Razak dan Jho Low akan dipanggil untuk memberikan keterangan,” kata Lip Eng. – Roketkini.com