Berita

Laporan RCI Sabah bermutu rendah, guna terjemahan Google

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Gesaan Kerajaan Melaka supaya sekolah-sekolah menggunakan papan tanda dengan tulisan Jawi dengan alasan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ditempelak sedangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah bermutu rendah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pihak yang bertanggungjawab menyediakan naskhah rasmi dalam Bahasa Kebangsaan akhirnya menggunakan khidmat penterjemahan Google sahaja dalam menghasilkan terjemahan sebuah laporan bertaraf ‘Diraja’.

“Lebih 200 muka surat awal Laporan RCI Sabah nampaknya seakan-akan tiada masalah, dan menggunakan bahasa yang begitu ringkas.
“Namun jika dicermati betul-betul kita akan mendapati terjemahan adalah dibuat secara langsung (direct translation) daripada teks asal Bahasa Inggeris dan kedengaran seperti ditulis oleh murid sekolah rendah sahaja.

“Bagaimana kerajaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sedangkan terjemahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah pun menggunakan bahasa yang bermutu rendah, cincai dan nampak malas,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ujar Kit Siang terdapat kejanggalan pada cara Laporan RCI\ merujuk saksi-saksi.

Kadang kala ia merujuk saksi sebagai ‘beliau’, dan ada kalanya pula menggunakan perkataan ‘dia’.

“Seolah-olah wujud perbezaan kasta dalam kalangan saksi-saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya tersebut.

“Kita boleh melihat bahawa ringkasan terhadap keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi ditulis semula secara sangat ringkas dan bermutu rendah,” katanya.

Tambah Kit Siang terjemahan RCI Sabah kedengaran lucu pada halaman 261, apabila laporan tersebut menyebut:

‘Kami mula, kerana adalah perlu bagi kami dalam menetapkan asas yang sepatutnya, dengan meneliti secara ringkas perpspektif sejarah berhubung dengan penghijrahan awal orang dari Filipina ke Sabah termasuk penghijrahan yang berikut selepas itu. Penghijrahan ini adalah tersendiri, ditentukan pada dasarnya dan dengan berkesan oleh masa, hal keadaan dan peristiwa. Terdapat 3 peringkat yang terlibat.’

“Jika dibaca oleh golongan yang bagus berbahasa Malaysia, perenggan ini kedengaran pelik dan janggal sekali.

“Barangkali kerana ketergesaan menterjemahnya daripada teks asal berbahasa Inggeris telah menghasilkan kerja yang cincai dan tidak membawa makna.

“Sukar juga untuk kita fahami perenggan ini dan apa sebenarnya yang ingin disampaikan,” ka Kit Sian, t Siang.

Justeru itu katanya, seandainya demikian mutu penterjemahan dokumen rasmi kerajaan yang sedari awalnya tidak pun ditulis dalam Bahasa Kebangsaan, bagaimana kerajaan boleh membuktikan ia benar-benar mendaulatkan Bahasa Malaysia.

“Bagaimana pula gesaan menggunakan papan tanda dengan tulisan Jawi boleh membantu kakitangan kerajaan untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan lebih baik dan bukan secara cincai,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com