Berita

Bekas pengerusi SPR mungkin tahu ‘benda’ yang Zahid sebut

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman harus membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai maklumat dalaman mengenai rasuah peringkat tertinggi UMNO.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Rashid pasti mempunyai maklumat tersebut, berikutan reaksi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi kepadanya bahawa ‘ada benda bekas pengerusi SPR tidak dapat’.

Rashid sebelum ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berhenti berbohong kepada rakyat tentang keadaan sebenar kedudukan negara dan berlaku jujur kepada pemimpin Melayu.

Dalam kenyataannya minggu lalu Rashid menolak kepimpinan Najib yang disifatkannya sebagai ‘rasuah’ dan menegaskan bahawa UMNO-BN berada di ‘ambang kematian’.

Malah dia turut mencadangkan Perkasa untuk ‘mengukuhkan usaha untuk menjadi sebuah badan politik yang akan memerintah negara ini’.

Zahid dalam reaksi kemudiannya menempelak Rashid, bahawa bekas Pengerusi SPR itu seharusnya membangkitkan pandangannya ketika masih berkhidmat dan bukannya selepas bersara daripada perkhidmatannya.

Namun tidak ada susulan penjelasan sama ada dari Rashid atau Zahid mengenai perkara yang dimaksudkan.

Kata Kit Siang melihatkan ‘serangan’ terhadap Perdana Menteri, Rashid seolah-olah menunjukkan bahawa dia tahu mengenai rasuah peringkat tinggi kepimpinan UMNO.

Justeru itu kata Kit Siang, Rashid harus membantu SPRM dengan maklumat dalaman yang diketahuinya mengenai rasuah dalam kepimpinan tertinggi UMNO, agar Malaysia boleh menyertai China dan Indonesia menangkap ‘harimau’ dan ‘buaya’ dalam perang melawan rasuah.

“Rashid boleh memberikan maklumat kepada SPRM tentang ‘benda’ yang Zahid sebut untuk menutup mulutnya,” kata Kit Siang. – Roketkini.com