Berita

Pairin ingkari matlamat PBS lawan Projek IC

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah penghinaan jika beliau tidak mempunyai kesungguhan politik untuk bertindak tegas terhadap dalang ‘Projek IC’.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Pairin diingatkan bahawa dalam hampir setiap Kongres Tahunan PBS sejak 1996, parti itu meluluskan resolusi menentang ‘Projek IC dan mendesak RCI mengenainya dilakukan.

“Pelantikan Pairin penghinaan politik terbesar jika tak secara terbuka menjauhkan diri dari jawapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab mengeluarkan puluhan atau ratusan ribu kad pengenalan haram.

“PBS sejak tahun 1996 dalam kongres tahunan mereka bertekad melawan Projek IC.

“Parti itu juga mengemukakan laporan polis dan memorandum yang tidak terhitung jumlahnya kepada SPR, JPN, SPRM serta kemuncaknya kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi pada 2007.

Soal Kit Siang, apakah Pairin akan mengakui bahawa motif perjuangannya dan PBS dua dekad lalu untuk mendedahkan dalang Projek IC dan menamatkan konspirasi mencipta pengundi hantu dari PATI telah gagal dan tersasar jauh.

Malah katanya, kedudukan Pairin sebagai Pengerusi Jawatakuasa Kerja Laporan RCI kekal menjadi tanda tanya dan misteri yang tak terungkai.

Ujarnya, sudah 40 hari selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Pairin akan mengetuai Jawatankuasa Kerja, namun tiada siapa tahu sama ada tugasannya sudah dimulakan.

Ini ditambah kenyataan mengarut Zahid baru-baru in berhubung Jawatankuasa Kerja Laporan RCI.

“Zahid berkata mesyuarat tidak rasmi pertama jawatankuasa Laporan RCI diadakan di kediaman Ketua Menteri.

“Tetapi apabila ditanya sama ada Pairin telah menerima pelantikan atau tidak, Zahi secara lisan menjawab bersetuju, namun mahu memeriksa dahulu.

“Bagaimana Zahid boleh mendakwa Jawatankuasa Kerja mengadakan mesyuarat ‘tidak rasmi’ pertama, apabila dia tidak tahu sama ada Pairin telah diterima secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja?, soal Kit Siang. – Roketkini.com