Berita

DAP lancar Tabung Bencana Banjir

KUALA LUMPUR, 26 DIS – DAP hari ini melancarkan Tabung Bencana Banjir bagi mengumpulkan sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada usaha-usaha membantu mangsa-mangsa bencana tersebut di seluruh negara.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataannya berkata tabung tersebut adalah tanda solidariti DAP bersama ratusan ribu mangsa banjir.

“Sebagai permulaan, DAP Pusat telah memutuskan untuk memperuntukkan RM10,000 untuk tabung tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di seluruh negara telah diarahkan untuk melancarkan kutipan derma daripada orang ramai di kawasan masing-masing pada hujung minggu ini.

“Semua wang yang dikutip melalui tabung ini akan disalurkan kepada kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas mengikut keperluan,”

Selain itu, sebuah trak dengan muatan satu kontena air mineral dan roti akan dikerahkan ke Gua Musang dan Kuala Krai pada hari Isnin, 29 Disember untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan tersebut.

“Saya sendiri akan mengetuai misi tersebut ke Kelantan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban, sambil berkata bahawa usaha berterusan sedang dilakukan bagi mendapatkan lebih banyak kontena untuk dihantar ke kawasan-kawasan yang terjejas serius, terutamanya di negeri Kelantan.

“Pucuk pimpinan DAP ingin menyeru semua rakyat Malaysia menghulurkan bantuan secara ikhlas dan menderma kepada “Tabung Bencana Banjir” kami untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya.

Semua kutipan derma akan dimasukkan ke dalam satu akaun khas iaitu “Tabung Dana Kecemasan” Ambank: 8881002244649. – Roketkini.com

banjir-02