Berita

Jabatan Perpaduan Negara ‘menyamar’ kutip tandatangan untuk projek KIDEX?

PETALING JAYA, 26 DIS: 172 Rukun Tetangga dari seluruh Daerah Petaling dikelirukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) apabila agensi kerajaan tersebut ‘menyamar’ menjadi jurucakap untuk projek lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX).

“Kami amat terkejut apabila menerima berita bahawa JPNIN menjemput 172 Rukun Tetangga di dalam Daerah Petaling dengan program samaran kononnya ‘Road to Unity’ yang rupa-rupanya sebuah taklimat mengenai lebuhraya KIDEX,”

“Surat jemputan tidak menyebut langsung bahawa program tersebut adalah mengenai KIDEX. Ia hanya menyebut ‘Program Road to Unity’. Apa kena-mengena lebuhraya KIDEX dan perpaduan nasional?” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan.

Menurut beliau juga, program JPNIN yang dilangsungkan pada 22 Disember lalu disyaki menelan kos yang tinggi apabila diadakan di Hotel Hilton.

“Taklimat tersebut telah dijalankan di Hotel Hilton untuk lebih 400 orang. Siapa yang bayar?” soalnya.

Bee Yin turut melahirkan keresahan mengenai senarai kehadiran yang harus ditandatangani oleh para peserta.

“Kami kini sangat risau bahawa senarai ini nanti akan digunakan untuk membuktikan bahawa pihak-pihak Rukun Tetangga ini telah bersetuju dengan pembinaan lebuhraya tersebut,” ujar beliau sambil berharap pihak JPNIN memberikan penjelasan sejujurnya terhadap apa yang telah terjadi.

Lebuhraya KIDEX menjadi isu hangat di negeri Selangor apabila projek itu dibantah ramai penduduk setempat dari kawasan Kinrara, Petaling dan Damansara yang terkesan dengan pembinaan lebuhraya itu nanti.

Projek bernilai RM 2.42 bilion itu dijangka akan dimulakan pembinaannya awal 2015. Lebuhraya sepanjang 14.9 kilometer juga dikatakan akan mengurangkan 25 peratus kadar waktu perjalanan antara Damansara dan Kinrara dan 5 peratus dari Puchong ke Petaling Jaya. – Roketkini.com