Berita

Replika Batu Sumpah usaha pertingkat kesedaran, bukan gimik politik

KOTA KINABALU, 29 DIS: DAP Sabah mengecam tuduhan jahat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang mendakwa pembinaan replika Batu Sumpah di Keningau hanyalah gimik politik DAP, kata ADUN Kapayan Dr Edwin Bosi

Ujarnya pembinaan replika Batu Sumpah di setiap perkampungan Orang Asli bertujuan menyebarkan ‘jaminan kerajaan Malaysia’ yang merupakan dasar Perjanjian Malaysia 1963 dan intipati 20 Perkara yang merujuk hak istimewa penduduk peribumi Sabah.

“Saya ingin menegaskan kepada Kurup bahawa sasaran kami adalah 100 peratus kesedaran dikalangan penduduk ke atas jaminan yang telah diberikan.

“Kami juga dalam proses membuat (model) Batu Sumpah supaya boleh diletakkan di atas meja, rak dan pejabat termasuk t-shirt,” katanya dalam satu kenyataan.

Kurup mendakwa DAP bukan menjadikan isu Batu Sumpah sebagai gimik politik tapi sengaja mencetuskan provokasi melaluinya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu sebelum ini memberi komitmen bahawa beliau akan meneruskan usaha untuk mewartakan Batu Sumpah Keningau sebagai Warisan Negara.

Justeru itu, Edwin, mengingatkan Kurup supaya melaksanannya, dan bukan hanya sekadar membuat berjanji.

“Sementara menunggu diwartakan, Kurup sepatutnya menyokong usaha kami menggesa Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Batu Sumpah.

“Inilah masanya yang paling sesuai untuk melihat sama ada jaminan itu telah dipenuhi atau tidak,” tegas Edwin

Tambahnya, PBRS tidak berminat memberitahu masyarakat Orang Asli tentang Batu Sumpah dan tiga jaminan kerajaan iaitu kebebasan beragama, tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk tradisi dan adat Orang Asli dipelihara.

Ujar Edwin, Kurup seharusnya memanfaatkan kuasanya dengan memohon pihak polis mempercepatkan siasatan untuk mengetahui penyebab mengapa perkataan ‘jaminan kerajaan Malaysia’ dibuang dari Batu Sumpah. – Roketkini.com