Berita

Banjir: DAP Selangor, Pulau Pinang tambah misi bantuan ke Kelantan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: ADUN Balakong Eddie Ng Tien Chee berkata, DAP Selangor sekali lagi akan ke Kelantan bersama rombongan pimpinan dan sukarelawan untuk meneruskan misi kemanusiaan membantu penduduk Kelantan yang berada dalam situasi sukar.

Eddie yang juga penyelaras bantuan banjir DAP negeri memohon warga Malaysia yang prihatin untuk bersama menghulurkan keperluan barangan dan sumbangan kewangan.

“Bencana ini amat menyayat hati kerana menyebabkan terlalu ramai penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda dengan sekelip mata.

“Pembinaan semula tempat tinggal mereka memerlukan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dan semua rakyat Malaysia.

“Kepada sesiapa yang ingin memberikan sumbangan atas talian boleh membuat demikian melalui akaun khas ‘Tabung Dana Kecemasan’ Ambank dengan nombor 8881002244649,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai keadaan trafik di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Kelantan.

“Kami memohon khususnya pengguna internet tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai keadaan trafik di kawasan terlibat kerana ia akan mengganggu operasi bantuan banjir.

Sementara itu, konvoi 4WD dari Pulau Pinang ke Kuala Krai membawa muatan sumbangan orang ramai akab bertolak dari Wisma DAP Pulau Pinang pada 1 Januari 2015.

Misi tersebut juga akan disertai Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan pemimpin tertinggi parti serta Exco kerajaan negeri Pulau Pinang. – Roketkini.com