Rencana

Perutusan tahun baru 2015 DAP

Perutusan Tahun Baru DAP 2015 oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 1 Januari 2015.

250,000 mangsa dan kerugian berbilion Ringgit mengharuskan perisytiharan darurat ke atas bencana banjir yang melanda negara bagi mempercepatkan kerja mencari, menyelamat dan pemulihan serta penundaan cukai 6% ke atas barangan dan perkhidmatan (GST) demi memberi harapan kepada survival ekonomi 80% isirumah Malaysia berpendapatan kurang RM4,000 setiap bulan.

DAP menggesa Kerajaan Persekutuan BN untuk mengisytiharkan darurat ke atas bencana banjir yang melanda kawasan-kawasan Semenanjung Malaysia. Kerajaan Persekutuan nampaknya bertindak secara tidak bertanggungjawab dan dengan berniat jahat apabila bergantung kepada alasan-alasan yang merepek, tidak sah dan tidak berasas bahawa pengisytiharan darurat akan merugikan mereka yang mempunyai insuran, dengan menghalang ratusan ribu mangsa banjir daripada memfailkan tuntutan insuran mereka. Ini tidak benar.

Dengan bilangan yang begitu tinggi, seramai 250,000 orang mangsa perlu dipindahkan, adalah bilangan yang terbesar dalam sejarah; manakala kerugian berbilion ringgit tentunya mengharuskan pengisytiharan darurat ke atas bencana banjir ini, demi mempercepatkan usaha-usaha mencari, menyelamat dan memperbaiki harta benda dan infrastruktur yang rosak. Tidak ada sebab kenapa darurat tidak boleh diisytiharkan apabila darurat jerebu pernah diisytihar di beberapa kawasan di Malaysia pada tahun 2005 dan 2013? Adakah jerebu lebih bahaya daripada banjir?

Berhadapan bencana alam sebegini hebat, Kerajaan Persekutuan BN turut sepatutnya mengelaknya bencana ekonomi terhadap tenaga kerja seramai 14.1 juta (setakat Oktober 2014) dengan menangguhkan pelaksanaan GST 6% pada 1 April 2015, yang akan mengakibatkan inflasi dan memburukkan lagi taraf hidup masyarakat. Bagi 14.1 orang tenaga kerja, dengan 13.7 orang yang mempunyai kerja dan baki 378,000 yang tidak bekerja, dakwaan BN bahawa pendapatan bersih isi rumah telah meningkat dengan kadar tahunan 8.4% menjadi RM5,919 pada tahun 2014 berbandiung RM5,000 pada tahun 2012 adalah satu omong kosong yang tidak membawa erti.

Sukatan yang lebih tepat ialah pendapatan median bagi golongan 40% isirumah terendah yang meningkat 11.2% menjadi RM2,313 pada tahun 2014 berbanding RM1,847 pada tahun 2012. Atas sebab ini, penangguhan GST adalah penting bagi mengurangkan beban kewangan keluarga orang biasa di Malaysia, di saat data yang disediakan PEMANDU pun mendedahkan bahawa 80% isirumah Malaysia berpendapatan kurang RM4,000 sebulan. Masalahnya kenaikan pendapatan adalah tidak setimpal dan berkadaran dengan peningkatan kos sara hidup, mengakibatkan Malaysia mencatatkan hutang isirumah kedua tertinggi di Asia pada kadar 87% daripada KDNK.

Di dalam politik pentadbiran, erti kemenangan bukanlah menang pilihanraya, tetapi menghasilkan idea yang baik dan kreatif yang menangkap imaginasi masa depan yang lebih cerah. BN dan UMNO menarik kita ke arah ketakutan primordial dan kebencian yang menjadikan kaum minoriti seolah-olah tidak cukup manusia; demi bukan sahaja untuk merompak masa depan anak-anak kita tetapi juga untuk menghalalkan jenayah yang lebih dahsyat pada masa akan datang. Daripada akur kepada pentadbiran primitif BN yang mengiktiraf perangai buruk, kita mesti menumpukan kepada kesederhanaan, dan menjana kemakmuran dengan menekankan kecermelangan dan kecekapan serta memastikan wujudnya keadilan sosio-ekonomi.

Kita mestilah menjadi masyarakat inovatif yang berpaut pada syarat-syarat 3T iaitu Talent (bakat), Teknologi dan Toleransi terhadap ide-ide baru yang berasaskan nilai-nilai kebebasan. Kita harus ingat bahawa inovasi tidak sangat bergantung kepada usaha membangunkan sesuatu ide secara spesifik tetapi lebih kepada mencipta ruang yang lebih luas. Autokrasi sentiasa mampu memobilisasikan kumpulan 0.1% teratasnya untuk mencapai kecemerlangan, tetapi bagaimana pula dengan baki 99.9% yang lain? Satu-satunya jawapan yang ia ada ialah untuk mentadbir secara mengarah, menindas, menekan dan membendung masyarakat.

Atas sebab ini, rakyat Malaysia sewajarnya menyambut tahun baru secara lebih bermakna dengan berjuang untuk mengekalkan kebebasan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, apabila kita lahir dalam keadaan memiliki peluang saksama untuk menjadi yang terbaik, dengan kedaulatan undang-undang, ketelusan dan pembangunan lestari yang akan menjanjikan masa depan lebih baik untuk anak cucu kita.

LIM GUAN ENG