Berita

Tunggu RMK-11 langkah lembab, segera guna ‘modal’ politik RM 7.8 bilion untuk tebat banjir

BUKIT MERTAJAM, 2 JAN: Dana politik kerajaan berjumlah RM 7.8 bilion harus digunakan untuk projek tebatan banjir, tanpa perlu menunggu Rancangan Malaysia ke-11 yang bermula 2016 nanti.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam kenyataannya menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan projek tebatan banjir ekoran kejadian bencana banjir yang terus berulang saban tahun.

“Kerajaan pusat patut memulakan projek tebatan banjir secara serius dengan serta merta dan bukan tunggu sehingga RMK-11,” ujar beliau.

Steven juga mendedahkan, usaha-usaha kerajaan yang memperuntukkan belanjawan lebih 2.4 bilion selama dua tahun juga telah gagal menyelesaikan masalah banjir di seluruh negara.

Dalam belanjawan tahunan, peruntukan untuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di bawah “Pengairan dan Saliran” itu termasuklah untuk rancangan kawalan dan isyarat bahaya banjir, pemulihan struktur, penggantian alatan pam, kerja-kerja kecil JPS pelbagai negeri, mencegah hakisan pantai, mengorek kuala-kuala sungai, rancangan tebatan banjir dan saliran bandar.

Justeru itu, Steven mendesak kerajaan menggunakan dana politik mereka untuk projek segera tebatan banjir di Pantai Timur.

Beliau mendedahkan sekurang-kurangnya ada lima dana di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang didakwa sebagai dana ‘modal’ politik.

Ia adalah Program Pembangunan berjumlah RM 1.1 bilion, Pembangunan Lima Koridor berjumlah 1.9 bibilion.Projek Khas berjumlah RM 1.6 bilion, Projek Mesra Rakyat berjumlah RM0.7 billion, Dana Fasilitasi berjumlah RM2.5 billion.

Jumlah keseluruhan semua ‘modal’ politik itu berjumlah 7.8 bilion yang lebih lapan kali dari jumlah belanjawan 2015 Negeri Pulau Pinang ujar beliau lagi.

“Justeru, saya menggesa agar Perdana Menteri segera mengarahkan tambahan peruntukan untuk projek-projek tebatan banjir,”

“Daripada menggunakan wang berbilion-bilion ini sebagai dana modal politik, dan jika serius ingin selesaikan masalah banjir di seluruh negara, maka Perdana Menteri perlu segera menyalurkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah ini ke arah projek tebatan banjir di seluruh negara pada tahun ini juga,”tegasnya. – Roketkini.com