Berita

Kes dera kanak-kanak meningkat, ada yang tak kena dalam masyarakat

KULAI, 6 JAN: Peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari tahun ke tahun adalah membimbangkan, selain menunjukkan ada yang tidak kena dengan masyarakat dan institusi keluarga di negara ini, kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Menurut Nie Ching, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan peningkatan kes penderaan kanak-kanak dari 2010 iaitu sebanyak 3,257 kes, 3,428 kes (2011), 3,831 kes (2012), dan 4,119 kes pada 2013.

Manakala statistik terbaru kes penderaan kanak-kanak dari Januari hingga April 2014 adalah sebanyak 1,430 kes.

“Statistik tersebut membimbangkan. (Pasti) terdapat lagi kes-kes terpencil di kawasan pedalaman, atau pun ada sebab-sebab lain mengapa ia tidak dilaporkan,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Tambah Nie Ching, kes penderaan kanak-kanak berlaku berpunca daripada tekanan perasaan, hutang, penceraian, tekanan hidup yang menghimpit kehidupan orang ramai selain kurangnya kasih sayang dalam institusi keluarga.

“Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan penemuan seorang kanak kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah yang dikurung ibu kandungnya sendiri di Nilai.

“Perkara tersebut mendapat perhatian semua pihak dan ibunya kini dikenakan tindakan. Namun kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak tidak terhenti setakat itu.

“Isu berkenaan penderaan terhadap kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak normal sejak akhir-akhir ini begitu membimbangkan.

“Penderaan tersebut bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, bahkan melibatkan penderaan seksual dan mental kanak-kanak sehingga ada yang diculik dan dibunuh dengan kejam,” ujar Nie Ching.

Menurut Seksyen 17(1) Akta Kanak-kanak 2001 atau Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) penderaan terhadap kanak-kanak kurang upaya dan normal adalah termasuk kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak–kanak.

Jika sabit kesalahan, sesorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru itu, Nie Ching berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk melaporkan sebarang kes-kes penderaan yang berlaku dengan bermula di kawasan berhampiran kediaman masing-masing.

“Kerjasama semua pihak perlu dan amat penting bagi membela kanak-kanak yang tidak berdosa.” katanya. – Rioketkini.com