Berita

Najib perlu jelaskan surat Zahid Hamidi kepada FBI

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Perdana Menteri Najib Tun Razak perlu menjelaskan tindakan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi mengutus surat kepada kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bagi menafikan ‘raja judi’ Paul Phua bukan anggota geng 14K.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, sikap Najib yang berdiam diri itu menimbulkan syak dan persoalan, seolah-olah beliau sendiri menyembunyikan sesuatu, apatah lagi dakwaan terhadap menteri itu berat.

“Dia harus bertanggungjawab terhadap setiap gerak-geri menteri-menteri dalam pentabirannya,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Sebelum ini dilaporkan Zahid Hamidi menulis surat kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano bagi membetulkan laporan polis tentang Paul Phua.

Menteri itu turut menyatakan dalam suratnya bahawa Paul Phua banyak membantu Malaysia dalam hal keselamatan negara.

Surat itu didedahkan dalam akhbar Hong Kong, South China Morning Post, difahamkan dibuat atas permintaan peguam Phua, Tan Sri Shafee Abdullah yang berkata laporan PDRM mengenai Paul adalah tidak betul.

Phua, bekas pemilik restoran kasino di Macau didakwa mempunyai kaitan dengan ‘mafia’ Hong Kong yang terkenal dengan nama 14K Triad.

Phua turut menghadapi dakwaan perjudian sukan haram di Las Vegas selepas ditangkap Lembaga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semasa musim Piala Dunia tahun lalu.

Kumpulan itu itu turut dikenali melakukan pelbagai jenayah termasuk pelacuran, pembunuhan, penyeludupan senjata dan rompakan.

Tegas Gobind, Najib perlu menjelaskan sama ada Zahid telah mendapat nasihat Peguam Negara sebelum mengutus surat itu.

“Sangat memalukan jika polis, KDN kelihatan saling bercanggah dalam hal ini dan membuat ia tampak lebih buruk bila Najib senyap sahaja.

“Hal ini betul-betul beri kesan buruk pada negara, Najib perlu bercakap terus terang tanpa berlapik tentang Paul Phua,” tegas Gobind lagi.- Roketkini.com