Berita

1MDB kelirukan firma audit untuk dapat kelulusan penyata kewangan?

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan tindakan 1MDB yang dilihat cuba mengelirukan firma audit, Deloitte Malaysia supaya penyata kewangan bagi tahun 2014 dapat diluluskan.

“Adakah akibat jumlah yang terlalu banyak menyebabkan Deloitte percaya semua baki RM4.07 bilion dapat diterima semula pada November 2014?”

“Apakah Deloitte sudah menilai dengan lebih teliti dan menjalankan usaha tambahan sebelum menerima janji 1MDB?”

“Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan risiko kecairan yang dahsyat untuk 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tony berkata, berdasarkan penyata kewangan yang berakhir Mac tahun lalu dan difailkan pada Oktober 2014, muka surat 93 jelas menyatakan bahawa baki RM4.07 bilion akan diterima sepenuhnya sebelum November 2014.

Namun Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin baru-baru mendakwa baki dana itu hanya dijangka dapat ditebus semula pada bulan berikutnya.

Melalui kenyataan bercanggah itu, Tony menyatakan ia adalah bukti nyata bahawa wang tersebut tidak akan pulang kepada Malaysia ataupun ke akaun 1MDB.

“Lodin perlu berikan penjelasan dan bertanggungjawab mengapa dana itu tidak diterima semula walaupun ada arahan jelas serta kebenaran oleh lembaga pengarah 1MDB,”

“Apakah terdapat satu keputusan baru oleh lembaga pengarah 1MDB untuk menggantung arahan terdahulu dan melambatkan bayaran semula dana Kepulauan Cayman selama-lamanya?”

“Adakah perubahan keputusan in dibuat selepas Deloitte bersetuju untuk menandatangani penyata kewangan 2014 pada 5 November tahun lalu?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

The Edge Financial Daily pada 5 Januari lalu melaporkan bahawa Bank Negara telah memanggil para eksekutif utama 1MDB dan memberi amaran akibat buruk sekiranya syarikat itu gagal memenuhi tarikh akhir bulan ini. – Roketkini.com