Berita

Kakitangan bantah pekeliling, Universiti Malaya langgar Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) membantah pekeliling melarang semua staf universiti itu dari menyertai atau mengadakan acara berbaur politik.

Presidennya Profesor Madya Dr Azmi Shahrom menyatakan Universiti Malaya melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan mengeluarkan arahan sedemikian yang melanggar hak asasi mahasiswa dan kakitangan.

“PKAUM nak beritahu, semua hak staf UM terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan terutamanya hak mereka untuk bebas bersuara, berpersatuan dan berhimpun,” tegas Azmi dalam satu kenyataan.

Pekeliling bertarikh 8 Januari itu bukan saja melarang semua pegawai pengurusan dan akademik dari menyertai parti politik, bahkan tidak dibenarkan menayang apa saja logo parti politik.

Mereka turut diminta untuk patuh dan “memberikan sepenuh kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan Universiti Malaya pada setiap masa.”

Pekeliling tersebut menyatakan apa-apa tindakan yang melanggar larangannya dikira sebagai “tidak mempertahankan kedaulatan dan maruah negara, serta melanggar undang-undang.”

Ia dipercayai dikeluarkan ekoran penglibatan Azmi dalam perhimpunan ‘40 Tahun dari UM ke Penjara’ anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kawasan kampus universiti itu.

Perhimpunan yang cuba dihalang pihak pentadbiran UM itu gagal dikekang apabila orang ramai yang datang bertindak merempuh pagar berarak menuju perkarangan Dewan Tunku Canselor untuk mendengar pidato Anwar. – Roketkini.com