Berita

Harga minyak jatuh, semak semula Belanjawan 2015

KUALA LUMPUR, 12 JANUARI – Belanjawan 2015 berjumlah RM273.9 bilion yang dibentangkan dikhuatiri terjejas dan perlu disemak semula berikutan penurunan harga minyak dunia sepanjang enam bulan lalu.

Belanjawan yang dibentangkan 10 Oktober tahun lalu dibuat berdasarkan unjuran harga minyak mentah USD 100 setong, namun harga minyak jatuh minggu lalu kepada USD46.99 setong.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dalam kenyataannya melahirkan kerisauan ekoran penurunan harga minyak tersebut yang mungkin menjejaskan pertumbuhan dan pengurusan ekonomi negara.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan seharusnya memberitahu kita apa sebenarnya kesan kejatuhan harga minyak ini terhadap ekonomi negara,”

“Dengan kejatuhan lebih 50 peratus harga minyak, Najib sepatutnya mengadakan sidang Parlimen khas bagi mengemukakan apa perancangannya bagi menangani keadaan tersebut,” jelas beliau.

Dalam pembentangan Belanjawan 2015 tahun lalu, kerajaan menjangkakan pengutipan pulangan mencecah RM235.2 bilion, dengan 30 peratus daripadanya dijana daripada keuntungan hasil minyak.

Kadar USD46.99 setong jatuh melampaui 50 peratus daripada apa yang diharapkan kerajaan dan merupakan kadar terendah sejak April 2009.

Jamin kebajikan Penjawat Awam

“Barang diingat, perbelanjaan terbesar dalam Belanjawan 2015 adalah perbelanjaan mengurus termasuk gaji penjawat awam yang berjumlah RM65.6 bilion,” tambah Lim Eng lagi.

Beliau justeru meminta Perdana Menteri memberi jaminan kepada penjawat awam bahawa gaji, elaun, caruman KWSP, pencen dan sebagainya tidak akan terjejas.

“Seandainya beliau gagal menangani situasi yang kian meruncing ini, Najib Razak seharusnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan melantik seseorang yang lebih layak,” tambahnya.

Pengarah Credit Suisse yang turut mengetuai penyelidikan ekuiti Malaysia Tan Ting Min dilaporkan mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula belanjawannya.

Syarikat kewangan multinasional itu menjangkakan negara sukar mengurangkan defisit belanjawan sehingga tiga peratus  tahun ini lantaran perubahan harga minyak mendadak yang menjadi sandaran unjuran ekonomi negara. – Roketkini.com